
Hyperpop menjadi sub-genre dalam muzik yang semakin dekat dengan gen-z hari ini. Beat, efek glitch dan vokal berlapis yang diadun dalam sistem muzik programming menjadikan Hyperpop sebagai jaluran muzik yang terus diraikan. Bagi generasi hari ini, Charli XCX mungkin contoh paling dekat dengan ilham muzik ini.
Namun sebetulnya, Hyperpop sudah mula mencuri perhatian peminat muzik pop sejak sekitar 2013 ketika A.G Cook yang merupakan pemilik label muzik PC Music memperkenalkan bakat indie seperti SOPHIE dan Hannah Diamond. Menerusi album ‘Product’, SOPHIE menjadi pemuzik yang awal mengemudi jaluran muzik ini yang memanipulasi jaluran muzik EDM bersama efek bunyi khas yang dimasukkan dalam persembahan vokal.
Pasaran muzik anak muda tempatan tidak ketinggalan dalam meramu ilham ini. Digerakkan dengan kreativiti dan pengalaman mendengar yang pelbagai – Hyperpop dibentuk dalam penyatuan beat keras, berulang dan penulisan lirik yang berteraskan cerita atau pandangan personal. Biar tiada pengkelasan yang khusus tentang jaluran ini ia masih mudah difahami dan dihadam.
Killamisha tahun lalu menghasilkan sebuah album yang cukup solid sound EDM yang membentuk ilham Hyperpop yang cukup lengkap. Pengisiannya kental, “Underground Princess” terbentuk daripada pemikiran dan pengalaman muzik Killamisha yang pastinya datang dengan rujukan muzik yang cukup luas dalam pasaran muzik begini.
Single “Killa Lumpur” menjadi pentafsiran muzik Killamisha yang dibentuk seiring imej serta estetika muziknya. Lagu-lagu seperti “Benzodiazepine”, “I Love Rempits” dan “2001 Warehouse Party” terhasil solid untuk bergerak sebagai naskhah muzik yang cukup kekinian. It’s the new future of club music.
Seorang lagi persona wanita yang mengemudi ilham muzik ini ialah Sophiarzk yang melengkapkan albumnya “GIMME MA NUGGET!” dengan sesuatu yang jauh melangkaui apa yang boleh kita fikirkan. I must said ini antara album yang cemerlang dizahirkan tahun lalu.
Penghasilannya menarik dan penuh dengan idea. Menikmati album ini kurang lebih seminggu kebelakangan ini membuka deria dengar saya pada spektrum berbeza. Dan terdetik juga, oh ternyata beragam idea pemuzik muda tempatan tetapi yang kita raikan yang serupa sahaja.
lucidrari lebih awal mencuri perhatian pemasaran muzik yang lebih luas dengan single “GADISKU”. Momentum kariernya melejit menerusi single ini dan tahun ini dia melangkah cemerlang dengan album studio ketiga “teletext” yang sekali lagi diterajui penuh idea kreativiti dan kesungguhan.
“teletext” menjadi bukti kematangan bermuzik lucidrari yang semakin jelas dengan arah muziknya. Ia juga menjadi bukti keterbukaan bakat muda ini dalam meluaskan landskap muzik menerusi kolaborasi dengan cukup banyak bakat muzik lainnya seperti SonaOne, Aisha Retno, gard sehingga bakat seberan Tarrarin.
Lil Asian Thiccie di legasinya dianggap pengemudi Hyperpop. EP “VG-RF” yang beredar pada tahun 2022 lengkap membawa bakat ini dalam persembahan muzik yang kuat bersilang glitch, dentuman beat dan sound elektronik yang disatukan dengan pengaruh Hip-Hop pastinya. Single seperti “LATE NITE SNACK”, “XOXO” dan “LIE 2 U” menyatukan muzik Pop, Hip-Hop dan EDM bagi membentuk Hyperpop.
ChronicalZ, kidsteph, nakalness, ichu dan lurkboy antara yang memanipulasi sound Hip-Hop dengan pendekatan Hyperpop menjadikan ia datang dengan penyatuan muzik berbeza dan bereksperimentasi dengan sesuatu yang baru bagi menghasilkan sesuatu yang segar.
Pasaran muzik ini seharusnya mendapat perhatian pasaran muzik yang lebih luas. Selain kerana ia semakin besar di pasaran global, kerana kita juga memiliki bakat muzik yang cukup berinovasi dalam memberi standard bunyi dan prduksi muzik yang setanding. Alih sedikit pendengaran daripada K-pop ke arah muzik ini, masih banyak yang harus diraikan dan disaksamakan usahanya.
*Kupasan artikel ini turut merujuk artikel daripada buku Algorifobik: Alternatif Resah Algoritma dan noisyheadspace
ARTIKEL BERKAITAN