
Album: Misompuru
Persembahan: Marsha Milan
Produser: Amir Jahari / Velvet Aduk / Simmy Lor / Oja
Dedikasi Marsha dalam mengangkat lagu-lagu Etnik Borneo sebagai salah satu tanggungjawabnya sebagai pemuzik itu satu hal yang seharusnya diberi kredit. Ketika awal menghasilkan beberapa single Etnik bersama Velvet Aduk menerusi lagu-lagu seperti “Aramaitii”, “Oi Gaman” sehingga “War Cry” yang turut menampilkan kolaborasi bersama Alena Murang – Marsha membuka mata saya akan keseriusannya dalam mengemudi satu landasan Pop dengan tanggungjawab.
Hal ini mungkin tidak begitu diberi perhatian penggemar-penggemar “Cinta” atau “Kembali Terang” namun ini adalah satu hal yang harus diberi perhatian dan diperkatakan semua. Maka atas dasar tanggungjawab itu juga, Marsha meneruskan sebuah kelangsungan dalam menghasilkan lagu-lagu Etnik ini menerusi persembahan EP lima lagu “Misompuru”.
EP ini bermula perjalanannya dengan “Nalan Nalan” kolaborasi bersama Alena Murang. Dibuka lembut dengan ambien yang membawa kita terbayang luas sebuah pemandangan sebelum menjadi lebih catchy di keseluruhan lagunya. Lagu ini memiliki festive mood yang cukup kuat akar etniknya.
Lagu-lagu begini sebetulnya kalau secara komersial bunyinya sangat dekat dengan apa yang Noraniza Idris selalu bawakan. Ia sempurna sebagai sebuah naskhah mendekatkan kita sebagai pendengar dengan satu sound yang kita miliki tapi jarang betul dibicara dan diraikan.
Ilham catchy di lagu “Nalan Nalan” diteruskan menerusi kolaborasi Marsha bersama Velvet menerusi “Lintah Darat”. Korusnya mengikat, diiisi dengan cerita dalam kelompok masyarakat yang dekat dengan sesiapa sahaja sebetulnya. Ia bergerak sebagai sebuah satira Pop yang baik. Lagu sebegini sangat mudah dinikmati dalam persembahan pentas live.
“Pelangi Pasti” menjadi focus track EP ini yang dikemudi dengan begitu sempurna saya kira. Melodi ciptaan Amir Jahari dalam menyatukan elemen Nusantara, Etnik, Pop dan Folk itu sesuatu yang tidak diragukan lagi. Dia sudah membuktikan hal ini dalam lagu “Ingga” dan “Wangikanlah Hatimu” sebelum ini.
Menerusi “Pelangi Pasti” Marsha saya kira menemukan sebuah naskhah Pop Etnik yang terbaik sebagai pentafsiran muziknya. Lagu ini bergerak sebagai sebuah spiritual Pop yang diisi dengan dengan semangat dalam penulisan lirik terutamanya. “Kita pasti akan menang // Hujan tanda Tuhan sayang.” sebelum korusnya ditutup sempurna bait “Kerna setelah lebat hujan // Pasti pelangi kan datang.” Lagu ini seharusnya diberi satu perhatian yang besar daripada pendengar.
EP ini ditutup dengan “Santai Saja” dan “Hey Aramai Ti” sebagai sebuah pelayaran muzik yang baik bagi kita yang peduli dengan seni, budaya dan keunikan yang kita ada. Marsha mempersembahkan “Misompuru” sebagai sebuah naskhah yang komersial jika mahu dibandingkan dengan Alena Murang yang lebih teliti dan bereksperimentasi muziknya – tetapi ia juga sesuatu yang cukup bagus dan harus dibanggakan.
Apa yang dihasilkan Marsha mahupun Alena Murang saya pasti adalah satu dedikasi teguh pada seni dan budaya yang harus terus diperjuangkan generasi kini yang memiliki pengaruh. Marsha menggalas tanggungjawab ini sebaiknya dan “Misompuru” adalah sesuatu yang seharusnya kita raikan sebagai pendengar.
8.5/10
ARTIKEL BERKAITAN