
Album: Bertemu Kembali
Artis: Melly Goeslaw / Nike Ardilla
Komposer / Lirik: Melly Goeslaw / Dadang S. Manaf
Masih saya ingat di tahun 1997 ketika KRU menghidupkan kembali P. Ramlee menerusi rakaman semula “Getaran Jiwa” yang terhasil cukup segar dalam acuan muzik trio bersaudara ini membangkit bangga dan tak kurang yang resah dengan idea tersebut.
Evolusi bermuzik KRU itu sehingga hari ini masih segar sebagai salah satu sejarah dalam pasaran muzik Pop tempatan yang akan terus diingati ilhamnya. Dan setelah itu saya kira beberapa kali juga jiwa-jiwa yang hilang jasadnya di bumi dihidupkan kembali dalam lagu.
Melly Goeslaw, Pop sensation dari tanah seberang menghidupkan kembali Nike Ardilla dengan ilham baru “Bertemu Kembali” yang menggabungkan dua lagu dalam satu. Melodi asal karya cipta Dadang S. Manaf “Duka Pasti Berlalu” yang dimanipulasi ilham kreatif Melly membentuk sebuah kraf muzik yang baru.
Melayani lagu ini seharusnya saya kira bersama muzik videonya yang mengadaptasi teknologi AI bagi benar-benar menghidupkan semula Nike Ardilla seperti dia wujud seadanya. Lagu ini terhasil dalam persembahan yang sederhana, ilham melodi asal diadun sebaiknya dalam menciptankan sesuatu yang lebih baik ilhamnya.
Kualiti rakaman lagu ini benar-benar menyatukan jiwa Melly dan Nike sebagai persembahan yang kedengaran baru biar ia adalah hasil daripada vokal asal Nike Ardilla. “Bertemu Kembali” saya sifatkan sebagai sebuah naskhah yang bergerak seiring kecanggihan teknologi yang dimanfaatkan sebaiknya dalam medium muzik – audio dan visual.
ARTIKEL BERKAITAN