
Di era 90-an dan 2000, Siti Nurhaliza mendominasi pasaran muzik tempatan dengan bersahaja. Bagai tiada yang mampu disaingi dan diterima terbuka – membenarkan dia menjadi figura Pop yang terus diraikan sehingga hari ini. Fasa perkahwinan dan melahirkan anak memperlahankan sedikit langkahnya dan membuka lebih ruang pada pemuzik baru mencuba nasib.
Namun di tahun 2018 dia kembali mendominasi pasaran muzik tempatan. Karya pelapis pop Hael Husaini dan Ezra Kong membawa namanya kembali gah dengan naskhah baru bermuzik. Muzik Kita melewati era baru Siti Nurhaliza dalam lagu-lagu terbaik yang pernah dirilis sepanjang tempoh 2018 sehingga 2024.
ANTA PERMANA (Hael Husaini / Ezra Kong)
Keterbukaan Siti merakamkan lagu-lagu komposer baru membenarkan dia untuk terus diraikan generasi berganti. “Anta Permana” bergerak sebagai sebuah lagu yang membawa suara baru muzik tradisional ke tahap yang moden dan kekinian. Apa yang dihasilkan selengkapnya memberi justifikasi dan bergerak sebagai pentafsiran terbaik muzik Siti yang baru.
MAGIS (Mas Dewangga / Jova Devito / Aden Keng)
Sebuah lagi lagu yang membawa ilham muzik tradisi dengan infusi Pop dan EDM yang menjadi kekuatan Mas Dewangga dalam karya-karyanya. Biar begitu pertembungan bunyinya, ia tidak langsung kedengaran canggung dan menjadikan ia antara lagu terbaik era baru muzik Siti Nurhaliza.
SIAPA TAK MAHU (John Jeeves / Ikhwan Fatana / Omar K)
Pop Siti kembali tersusun baik di lagu Siapa Tak Mahu. Penciptaan melodinya matang dan mengena dengan attitude Siti Nurhaliza. Kemasan muziknya baik dengan penghasilan cukup catchy dan mengikat. Dalam katalog lagu-lagu Pop (bukan Balada) ia terhasil ceemrlang melengkapi usia bermuzik Siti.
7 NASIHAT (Luca Sickta / Kmy Kmo)
Ilham tradisional sememangnya mencantum baik dengan landskap muzik Siti. Luca Sickta dan Kmy Kmo berjaya menghasilkan sebuah lagi hits malar segar yang baik dan seiring imej Siti. Lagu ini simple dan bukanlah datang dengan idea baru tetapi ia kuat sebagai pentafsiran terbaik muzik baru Siti.
AKU BIDADARIMU SYURGAMU (Ippo Hafiz / Siti Rosmizah)
Balada menjadi kekuatan Siti namun di era baru bermuziknya tidak banyak yang seiring dengan balada-balada hebat yang pernah dia rakamkan dulu. “Aku Bidadari Syurgamu” memberi kepuasan daripada segi vokal dan feel Siti buat pendengar.
GANTI (Mingaling)
Lagu ini memberi vibes serupa “Debaran Cinta”, “Ku Milikmu” dan “Pendirianku” yang cukup moden dan mengena dengan Siti. Lagu sebegini tidak sukar untuk Siti bermain dengan warna vokal dan stail nyanyiannya. “Ganti” antara lagu yang penting era baru bermuziknya.