
Lagu: Malam Nestapa
Persembahan: Nikki Palikat
Komposer / Lirik: Leonard Yap / Raihani Mohd Saaid
Produser: David Koon
Perjalanan Nikki dalam mendapatkan momen dalam kariernya mungkin masih belum memuncak seperti penyanyi lain yang sudah memiliki jutaan strim sehingga pencapaian di majlis anugerah muzik. Namun untuk terus meraikan bakatnya itu saya kira mungkin hal yang masih belum benar-benar diberi ruang oleh pendengar tempatan.
Apa yang sudah dihasilkan setelah fasa Gegar Vaganza saya kira itu sudah mengikut template Pop tempatan. Balada sudah dihasilkan melalui “Sudah” dan “Dugaan Takdir Cinta” yang saya sifatkan semampunya untuk berada di radar popular kerana apa yang dipersembahkan sama sahaja sebetulnya dengan apa yang dipersembahkan Marsha, Aina, Ernie yang terus diraikan tanpa putus.
Namun mengapa tidak mereka yang meraikan tiga penyanyi ini turut sama meraikan Nikki? Itulah persoalan berbalik soal keadilan dan sikap memilih pendengar kita. Hal ini sama juga saya lihat dengan penerimaan pendengar terhadap Balada persembahan Jaclyn Victor. “Sesal Tak Bermakna” yang beredar tahun lalu dipandang sepi pendengar.
Tapi saya masih harus terus memuji dedikasi penyanyi seperti Nikki dan Jac dalam terus bekerja. Bagi meneruskan satu kesinambungan bermuzik pada pendengar yang masih mahu mendengarkan persembahannya, Nikki menghasilkan sebuah lagi pertaruhan Balada menerusi “Malam Nestapa” sebuah naskhah runut bunyi filem “Gayong”.
Lagu ini terhasil dengan bait lirik yang puitis, itu hal pertama yang saya perhatikan pada penghasilannya. Meneliti penghasilan liriknya ia bagai membaca puisi yang ditulis dengan emosi dan perasaan yang paling galau. Bait seperti “Laut pun berkisah // Malam terbakar // Pantai pun tercalar, terhiris.” Dan Nikki benar-benar mendalami cerita tertulis dalam penyampaian vokalnya yang begitu kemas dan datang dengan dinanik yang tepat tanpa perlu berlebihan.
Melodinya saya kira terhasil mengikut standard lagu-lagu Balada AJL – dan atas faktor ini membuatkan saya semakin yakin untuk mempersoalkan jika lagu ini sebenarnya akan menjadi penanda aras keterbukaan pendengar untuk menyokong Nikki sama seperti mereka menyokong penyanyi-penyanyi AJL.
Jika ia masih gagal membawa Nikki ke tahap yang sepatutnya dan memiliki momen besarnya dalam industri muzik tempatan, saya kira salah bukan padanya tetapi pada pendengar yang memilih apa yang mereka mahu dengar dan sokong sahaja. Setidaknya lagu ini masih memliliki melodi yang sedap didengar dan lirik yang jauh lebih baik dengan berbanding Balada setahun dua kebelakangan ini yang diangkat cendekiawan AJL.
6.7/10
ARTIKEL BERKAITAN