
Lagu: Lemah
Artis: Dayang Nurfaizah
Komposer / Lirik: Hael Husaini
Susunan Muzik: Mac Chew
Lama sebetulnya menantikan persembahan Pop Dayang Nurfaizah yang terakhir kali mungkin “Debu” duet cemerlang bersama Amir Masdi kira-kira dua tahun sudah. Fasa membikin muzik bersama batalion muzik di Faithful menghasilkan single yang membuat Dayang jauh daripada pasaran Balada biasa.
“X Missing U”, “Sebentar” dan “Debu” akan menjadi satu fasa yang diingati penggemar Dayang pastinya. Keluar terus daripada persembahan tipikal Balada “Di Pintu Syurga” dan “Lelaki Teragung” – tiga lagu bersama Faithful ini sebetulnya satu transisi yang bijak.
Dan setelah fasa itu, jelmalah era “Belagu” yang sekali lagi menjauhkan Dayang daripada persembahan Balada. Ini era yang mungkin sebagai peminat we didn’t see it coming tetapi it’s a sweet surprise.
Dua edisi “Belagu” membuatkan pengalaman menikmati muzik Dayang berbalut kepelbagaian (diversity) dalam muzik yang membuktikan versatility Dayang sebagai pemuzik yang sentiasa mahu mencabar dirinya.
2024 Dayang membuat penggemarnya semakin tertanya-tanya bila dan apa lagi yang akan dia persembahkan tahun ini? Seperti janjinya di konsert Belagu tahun lalu – tahun ini sebuah album Pop akan menyusul.
Atas janji itu juga maka bakal diterbitkan album penuh berjudul “Janji” yang akan diedarkan November mendatang dengan barisan komposer seperti Aisha Retno, Hael Husaini dan Ajai antaranya (Setakat ini yang boleh saya kongsikan) sebagai penyumbang melodi di album tersebut nanti.
Melodi Hael Husaini sekali lagi dipilih sebagai single perdana album ini. Setelah “Haram”, “Dia” dan “Hari Ini” – tulisan terbaru Hael buat Dayang berjudul “Lemah” akan mengisi carta-carta muzik digital dan sekali gus bakal juga menjadi siulan penggemar Dayang.
Namun Balada ini bukan naskhah yang saya dengar sekali dan suka. Tidak salah juga untuk saya letakkan lagu ini antara lagu Dayang yang paling sukar melekat di hati. Perasaannya berbeza ketika pertama kali saya mendengar “X Missing U” dan “Debu” – adrenalin saya bergelora dengan dinamik yang ada pada dua lagu tersebut.
Namun setelah beberapa kali mendengar dan cuba memahami visi Dayang kali ini, daya pengikatnya ada pada pada falsafah melodi simple yang mahu disampaikan. Perasaan – mungkin itu hal yang mahu Dayang berikan pada kita kali ini.
Dan seperti sifatnya perasaan itu sendiri yang membutuhkan masa untuk difahami, begitu jugalah dengan persembahan keseluruhan “Lemah”.
Kemasan muzik Mac Chew memberi justifikasi yang baik pada penciptaan melodi Hael. Sejujurnya kali pertama mendengarkan lagu ini saya tidak dapat menangkap ini melodi Hael dan Mac Chew memberi satu landskap muzik berbeza dalam memberi warna berbeza melodi ciptaan Hael.
Kesederhanaan Dayang lewat lagu ini bersulam dengan perasaan yang sederhana. Sekali lagi nada rendahnya dipersembahkan Dayang begitu mengasyikkan. Magisnya sekali ada pada feel lagu ini yang sebetulnya dibawa berlayar sebaiknya persembahan Dayang.
Dan ini adalah fasa kesederhanaan Dayang Nurfaizah dalam bermuzik. Sebuah kesederhanaan yang menuntut kesabaran dalam menikmatinya. Tiada lagi eksperimentasi muzik dengan bunyian baru tetapi lebih kepada menyantuni kehendak perasaan dalam sebuah lagu.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN