
Pasaran muzik Jazz tempatan menjadi jaluran muzik yang paling terpinggir sekali jika mahu dibandingkan dengan genre lainnya. Di saat sub-genre lain seperti Nasyid, Hip-Hop, Indie Rock semua sudah melewati zaman kegemilangan masing-masing dengan momen terbaik, Jazz di Malaysia masih tersisih daripada pasaran komersial.
Menidakkan tiadanya naskhah yang terhasil atau tiadanya pemuzik yang mahu memperjuangkan muzik ini tidak adil, sejak era 80-an malah sebelumnya sudah banyak penyanyi komersial menjamu kita dengan muzik Jazz (yang pastinya diadun dengan Pop) terhasil dengan produksi muzik yang cukup baik.
Gerakan kontemporari Jazz cukup aktif di era 80-an dengan kehadiran nama-nama popular seperti Mazlan Hamzah, Azmil, Sheila Majid, Fameiza dan Fairuz Hussein yang membawakan Jazz dengan infusi muzik R&B juga Pop bagi menambah nilai komersil pada jaluran muzik ini berbanding apa yang telah lebih awal dibawakan Julie Sudiro atau M. Bakri.
Nama Mazlan Hamzah pernah muncul di pertengahan 80-an dengan penghasilan dua album “Refleksi” (1987) dan “Aku & Diriku” (1984) menjadi antara pemuzik awal yang berani menghasilkan sebuah album Jazz R&B dengan pengaruh Fariz RM dari Indonesia.
Mazlan menerusi dua albumnya itu membuka langkah awal malah lebih awal sebelum Sheila Majid pertama kali mengedarkan “Dimensi Baru” pada tahun 1985 yang ketika itu pantas memberinya gelaran Ratu Jazz.
“Dimensi Baru” hadir sebagai sebuah naskhah yang banyak dipengaruhi muzik City Pop dengan progression chord Jazz yang diteruskan dengan hits lain Sheila seperti “Tua Sebelum Waktu”, “Fikirkan Dulu”, “Warna” dan “Panorama” antaranya yang sekali gus memberikan jolokan Ratu Jazz buatnya sehingga hari ini.
Keterbukaan pendengar muzik di era 80-an membenarkan nama Sheila cukup besar dan diraikan sekalipun apa yang dia lakukan itu cukup melawan arus pasaran muzik semasa yang semakin didominasi muzik Rock dan ilham berpanjangan Pop Melayu Ahmad Nawab yang ketika itu sudah semakin di penghujung pengaruh.
Album “Emosi” dan “Warna” sebuah persembahan muzik yang benar-benar membenarkan Sheila bersama produser muziknya seperti Roslan Aziz, Michael Veerapan, Fauzi Marzuki dan Mac Chew berkarya bebas dalam penghasilan lagu-lagu yang beragam. Remake “Jelingan Manja” meneruskan lagu tanggapan masayarakat yang Sheila sememangnya penyanyi Jazz.
Pada tahun 1988 ketika “Warna” diedarkan yang sekali gus menjadi kesinambungan baik muzik Sheila Majid hadir dua lagi album penting pasaran muzik Jazz R&B iaitu “Getaran” (Famieza) dan “Kali Pertama” (Fairuz Hussein). Menambah warna cukup menarik pasaran muzik ketika itu.
Persona bernama Fairuz Hussein ketika itu benar-benar menyerlah dan memberi harapan pada pasaran muzik yang disifatkan lebih urban ini untuk mendominasi pasaran muzik tempatan. Kejayaan luar biasa single “Kali Pertama” memberi ruang terbaik Fairuz to showcase her talent yang sehingga membawanya ke Indonesia ketika itu dalam penghasilan lagu bersama Fariz RM menerusi “Night in Barcelona” dan duet bersama Harvey Malaiholo “Bawalah Cintaku”.
Menerusi album berjudul “Coba Lagi” Fairuz ke Indonesia dengan persona R&B singer dengan infusi City Pop juga Jazz mencari peluang dan ruang memikat pendengar tempatan. Lagu-lagu komposisi Billy J. Budiarjo (Coba Lagi), James F. Sundah (Api Cinta) dan Elfa Seciora (Lagu Cinta) sedikit sebanyak memberi saingan pada Sheila yang ketika itu semakin digilai dengan lagu “Antara Anyer & Jakarta” juga “Sinaran”. Fairuz sepanjang di Indonesia juga sempat merakamkan sebuah lagu mengisi runut bunyi filem “Catatan Si Boy” memenrusi lagu berjudul “Boy I Love You” (Harry Sabar).
Fairuz sepanjang jalur masa itu telah menghasilkan karya-karya yang cukup hebat. Dengan ilham kreatif Adnan Abu Hassan, Jenny Chin, Azman Abu Hassan dan Johan Nawawi, Fairuz benar-benar menyerlah dalam karya-karyanya. Tanyalah siapa saja yang membesar di era tersebut pasti nama Fairuz akan disebut-sebut sebelum dia memutuskan untuk memperlahankan karier bermuzinya di era 90-an sehingga 2000.
Dan setelah itu era 90-an dalam kerancakan Balada dan Rock menenggelamkan terus Jazz daripada radar muzik semasa. Pasaran muziknya semakin sempit dan kabur – penyanyi dalam pasaran muzik urban juga memilih bereksperimentasi dengan R&B yang cukup popular di pasaran global menhadirkan pula nama seperti Liza Aziz yang cukup kuat pengaruh Shanice dan Chaka Khan.

R&B, Soul dan Jazz di Malaysia dilihat sebagai satu jaluran muzik yang agak kecil pasarannya. Tiga genre ini biasanya disatukan dalam feel Pop bagi menambah nilai komersil dan pada masa yang sama memberi ruang untuk pendengar lebih mudah mendekatinya. Hal ini dilakukan di beberapa album yang siap beredar sepanjang 90-an.
Satu daripadanya adalah album “Ke Sayup Bintang” persmebahan Ning yang diedarkan pada tahun 1997. Rangkaian lagu seperti “Biarkan” ciptaan JP Abdullah bersama Ning sendiri menghasilkan flavor yang sangat menarik dengan permainan vokal Ning yang cukup sensual. Ning dalam satu kolaborasi bersama Najip Ali menerusi trak berjudul “NING” cukup menwan dalam pesona Acid Jazz penuh groove.
Tidak pasti berapa ramai yang mengenal Izlyn yang pernah hadir dengan album berjudul “Duality”. Menerusi album ini Izlyn cukup bereksperimentasi dengan sound Boosa, Jazz dan Dance yang memercikkan rasa berbeza menikmat muzik tempatan. lagu terbaik di album ini adalah “Dancing Eyes” yang memberi kepuasan melayani vokal besar Izlyn.
Syafinaz menerusi kemunculan kembalinya di album “Ingin Bersamamu” menzahirkan feel R&B yang turut terisi dengan infusi Jazz dalam lagu seperti “Mengukir Mimpi” antara yang paling menarik dinikmati di album ini.
Tahun 2007 menjadi gerakan baru muzik Jazz tempatan ke tahap yang sangat baik. “Sangkar” sebuah albumm terbitan Roslan Aziz menghidupkan kembali Atilia ke pasaran muzik tempatan setelah kali pertama di perkenalkan di album R.A.P 96 dengan lagu ciptaan Audi Mok “Pelangi Mimpi”.
“Sangkar” terhasil cukup solid dengan sound yang bersifat mewah dengan menawarkan pengalaman berbeza menikmati muzik tempatan. Rangkaian lagu-lagunya benar-benar memberi kelebihan buat Atilia bergerak cukup tersendiri dengan identiti bermuziknya.
Kehebatan komposisi lagu-lagu seperti “Sudah”, “Duyung”, Selagi”, “Ranjau” dan “Sangkar” sendiri meletakkan standard berbeza album ini jika mahu dibandingkan dengan album tempatan lainnya. Sehingga hari ini saya masih mampu enjoy menikmati “Ranjau” yang saya sifatkan sebagai salah satu lagu terbaik yang pernah dihasilkan Atilia.

Satu lagi nama muncul di sela seli itu ialah Noryn Aziz yang tampil dengan ilham lebih soulful menerusi album “Alam Maya” sebagai sebuah lagi album Jazz terbaik yang pernah dihasilkan pemuzik tempatan. Bersama Michael Veerapan dan Daniel Veerapan album ini tidak hanya memperlihatkan sisi berbeza Noryn sebagai penyanyi berbanding apa yang kita lihat di awal kemunculannya namun juga dia bergerak bebas dengan komposisi muzik original di album ini.
“Kembalikan”, “Lara”, “Make It On My Own” dan “Situasi” menjadi wakilan lagu terbaik dalam menikmati feel Noryn Aziz yang datang serba baru ketika itu. Kekuatan melodi “Cerita Cinta” untuk menjadi lagu cari makannya juga cukup solid meletakkan nama Noryn Aziz sebagai penghibur yang datang dengan ilham berbeza. Biar pasarannya agak kecil dan tidak begitu diraikan di radio terutamanya, namun setiap kali berpentas sambutan tetap hangat memenuhi ruang yang ada.
Noryn setelah itu meneruskan perjalanan dengan album mini berjudul “I’m Alright” sebelum memutuskan untuk menghentikan langkah bermuziknya dalam jangka masa yang cukup panjang sebetulnya sebelum memutuskan untuk memasuki program Gegar Vaganza.
Kehadiran Noryn dan Atilia jugalah menggerakkan ilham menerusi projek “Malam Nada Biru” yang diusahakan Atilia menerusi Mujik Production dalam beberapa siri yang selain menampilkan Atilia bersama Noryn turut menghadirkan Najwa Mahiadin dan Yuna.
Usaha ini bagaimanapun tidaklah berterusan, sayang sekali kerana ia memiliki potensi yang besar dan menarik untuk dikomersilkan pada masa yang sama memberikan platform serta exposure muzik Jazz untuk pengikut muzik tempatan.
Selain “Malam Nada Biru” masih anda ingat “Night of Soulful Star” yang pernah diusahakan saluran televisyen NTV7 dulu? Juga sebuah program yang sangat baik sebetulnya dalam memberi sedikit sebanyak music education buat penonton namun mungkin kerana rating rendah program tersebut juga dibatalkan setelah beberapa musim.

Nama Fairuz Hussein kembali di tahun 2004 dengan sebuah album baru berjudul “Anugerah” setelah tiada langsung album di era 90-an. Berita itu tentu saja membahagiakan pengikut Fairuz yang sekian lama menantikan album terbaru daripadanya.
“Anugerah” dihasilkan bersama Zul Nadzar sebagai produser muzik keseluruhan album dengan bunyian yang begitu eksperimen sekali. Keluar terus daripada ilham pasaran muzik tempatan, Fairuz ternyata mahu melakukan apa yang dia percaya dan suka sahaja.
Hasilnya? Sebagai peminat saya terlalu senang dengan penghasilan keseluruhan album ini. Magikal. Daripada lagu pertama ke penghujungnya, album ini disusun kemas – komposisi muzik yang menarik, transisi daripada satu lagu ke satu lagu yang bersifat kesinambungan sehingga persembahan vokal Fairuz yang cukup effortless. Semuanya dihasilkan cukup cemerlang.
Namun sambutannya? Sudah namanya Jazz tidaklah sama seperti muzik Pop. Album ini ternyata dipandang sepi pendengar muzik tempatan. Radio juga seolah memandang sebelah mata sahaja usaha yang dilakukan Faiurz menerusi album ini. Namun saya kira itu bukanlah misi utama Fairuz menghasilkan album ini. Dia hanya mahu berkongsikan her state of mind menerusi muzik yang mahu dia bawakan. Dan hal ini setidaknya mampu memberi keterujaan buat peminatnya.

Sebuah lagi album yang Jazz yang pernah muncul di era 2000 adalah ilham Dave Andrew yang mengumpulkan beberapa vokalis handalan tempatan seperti Adibah Noor, Taheera, Wan Hardiah menerusi ilham Acid Jazz dalam rakaman lagu original dan rakaman semula yang diramu dengan pengalaman berbeza daripada sound asal.
Album ini juga satu daripada album yang cukup penting pernah dihasilkan dalam memberi nafas dan harapan untuk muzik Jazz terus diterima. Lagu seperti “Keliru” (Taheera), “Cahaya” (Wan Hardiah) dan rakaman semula “My Funny Valentines” oleh Adibah Noor dihasilkan dalam pengalaman berbeza menikmati melodi klasik tersebut. Namun sekali lagi hanya yang tahu sahajalah pernah mendengarkan album ini.
di mana sebetulnya placement muzik Jazz di Malaysia? Selain di pentas kelab-kelab kecil dari era Bangkok Jazz sehingga yang ada hari ini Bobo KL dan Jaotim mampukah Jazz tempatan diraikan sebesar muzik Pop yang lain? Hal ini saya kira harus dimulakan oleh mereka yang berpengaruh.
Projek kolaborasi is always a good idea. Menggabungkan bakat-bakat muzik dalam jaluran muzik ini tanpa kira senior atau junior dikenali atau tidak, ia akan membantu perkembangan muzik Jazz untuk mendapat pendedahan yang lebih luas.
ARTIKEL BERKAITAN