
Sheila Majid antara yang akan beraksi di pentas KL Jamm
Bagaikan sebuah konsert reunio, itu gambarkan selepas melihat line-up artis legenda yang bakal membuat persembahan di festival muzik terbesar, KL Jamm, seperti diumumkan pada sesi sidang media di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC).
Barisan artis yang terlibat ialah Datuk Ramli Sarip, Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Datuk Afdlin Shauki, Zamani, Amelina, Radhi OAG, Dr Burn, Santesh, Rabbit.Mac dan Sheezy.
Menurut pengerusi penganjuran KL Jamm yang juga Presiden KRU Music Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim, KL Jamm yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 April nanti, diharap dapat mengubah persepsi umum dan dunia mengenai industri muzik tempatan, sekali gus mendidik masyarakat untuk lebih terbuka terhadap artis yang mahu mengadakan persembahan di negara ini.
“Idea untuk mengadakan KL Jamm ni tercetus apabila saya berkunjung ke luar negara dan berpeluang melihat festival di sana.
“Jadi, saya terfikir kenapa Malaysia tidak mempunyai acara muzik seperti ini. Sedangkan kita mempunyai banyak barisan artis tempatan yang hebat dan berkualiti. “Jadi saya berharap penganjuran festival ini dapat memberi kebaikan kepada semua pihak terutama kepada industri muzik tempatan dan serantau,” katanya.
KL Jamm yang dianjurkan Music Unlimited International Sdn.Bhd ini, bakal menggabungkan pelbagai genre muzik seperti rock, hip hop, jazz dan juga pop. Untuk urusan pembelian tiket dan keterangan lanjut, layari www.kljamm.com
