
Lagu: Jangan Dulu
Persembahan: Heidi Moru
Komposer / Lirik: Heidi Moru
Produser: Mégat Fazly
Banyak bakat wanita dalam muzik tempatan bergerak dalam jaluran pasaran muzik yang cukup komersial namun untuk Heidi Moru dia selesa bergerak tanpa terikat kehendak pasaran muzik semasa. Apa yang ditawarkan sentiasa berbalik pada hal-hal yang dia senangi dan apa yang mahu diasosiasikan.
Maka dengan tanpa terlalu perlu terburu-buru langkah bermuziknya disusun dengan mengikut langkah yang tersendiri. Sentiasa ada single yang beredar saban tahun sejak usai fasa pengenalan di Bintang RTM sehingga hari ini Heidi melaluinya dengan satu landskap diskografi yang mencukupi untuknya dikenali sebagai bakat indie (bergerak sendiri) yang dikenali juga pengikut muzik mainstream.
Mendengarkan kembali lagu-lagunya seperti “Senja” , “Kata Hati”, “Aku Ada” sehingga kolaborasi bersama Fimie Don juga single “Ikatan” bersama Emptypage dan Mohsein Kush – saya kira kita semakin jelas dengan arah muzik yang Heidi mahu pendengar nikmati daripadanya.
Meneruskan kelangsungan akan idea tersebut, Heidi menerajui sebuah lagi single berjudul “Jangan Dulu” ciptaan sepenuhnya Heidi dengan kemasan muzik Mégat Fazly (Mafidz). Bergerak atas landasan Pop yang mellow dan diberatkan dengan feel dan susunan muzik yang momentumnya benar-benar membaluti sebaiknya emosi Heidi.
Lagu ini jika diikutkan terhasil cukup ramuan komersialnya. Melodinya mudah didekati, terkadang pabila diamati betul ada feel K-Ballad yang kuat. Persembahan Heidi sederhana namun masih berat perasaan yang dibawanya dengan penceritaan melalui lirik yang ditulis.
Bait seperti “Dunia ini tak mungkin bererti // tanpamu di sini // Aku hilang arah // Jika tanpa kamu..” tidak ditulis kompleks tetapi sempurna dan mengena dengan melodi yang dihasilkan. Ia naskhah sempurna untuk dilayani sendiri berteman hujan dan kesepian.
7.2/10
ARTIKEL BERKAITAN