
Album: Pujangga
Vokal: Hazama
Komposer / Penulis Lirik / Produser: Hazama / Genervie Kam / Ritz Metalasia / Taja / Tam Spider / Zimi / Ary Fakir / Budi Hekayat / Zel Haduan / Dian Mayasari / Iman Imran
Perjalanan panjang Hazama sebagai penyanyi juga penghibur itu mungkin belum lagi menemukan nokhtahnya. Sekali pun ada masa dia seperti kurang diberi perhatian namun penghasilan lagu-lagu baru tidak pernah berhenti. Terutama sekali dua tiga tahun kebelakangan ini. Jika dikira sejak tahun 2020 dengan single duet bersama arwah Sarah (Terakhir Buat Teman) Hazama memiliki banyak single sebetulnya.
Beku (bersama Elizabeth Tan), Mukata, Abadi, Ilusi (bersama Marsha), Harapan Tak Kunjung Tiba (bersama ST12) sehingga duet bersama Noraniza Idris menerusi “Penawar Kita” menjadi pertaruhannya untuk kekal relevan di pasaran muzik tempatan. Mungkin dalam banyak-banyak percaturan itu ada yang tidak mengena kerana sejujurnya saya sendiri lupa dengan lagu-lagu tersebut.
Tapi untuk berhenti saya kira itu bukan pilihan buatnya. Hazama meneruskan dedikasinya sebagai pemuzik sehingga hari ini. Terbaru daripadanya adalah sebuah album – sebagai rekod ini adalah album penuh kedua Hazama setelah yang kali pertama pada tahun 2013. “Pujangga” diberi nama dan 10 lagu melatari album ini sebagai persembahan terbaik yang boleh dia berikan.
Album ini dibuka dengan “Bukan Sendiri” seperti sebuah prolog panjang ia bergerak sebagai satu pengenalan yang baik. Saya lebih tertarik dengan persembahan vokal Hazama di lagu “Apa Makna Cinta” (Hazama / Taja / Ary Fakir). Emosi yang dialirkan ke lagu ini secukupnya untuk saya merasai kisah dibalik lagu. Hazama tukang cerita yang bijak, dia tahu bagaimana menghidupkan melodi dan lirik yang disiapkan dengan emosi yang sepatutnya.
“Semacam Pandora” (Hazama / Zimi / Generview Kam / Ritz Metalasia / Zel Haduan) datang dengan persembahan Pop Rock yang menyerlahkan attitude Hazama sebagai vokalis yang mampu membawa landskap melodi lagu seperti ini. Melodinya catchy, ada 80’s Rock vibes yang kuat dan saya paling tertarik menikmati rakaman lagu in iyang benar-benar menangkap bunyi setiap instrumentasi yang digunakan sebaiknya. Korus lagu ini menyatu sempurna dengan vokal Hazama yang effortless.
“Di Mimpiku” (Hazama / Zimi / Genervie Kam / Ritz / Dian Mayasari) kembali membuat saya larut dengan persembahan vokal Hazama. Sekali lagi emosinya sangat baik dan lagu ini ada potensi untuk hits jika diberi perhatian lebih dan kena dengan pemasarannya. Perasaan yang Hazama letakkan di lagu ini benar-benar membekas rasa. Sempurna mungkin jika keterlaluan. Sedap sangat.
Dan hal-hal membekas rasa ini sekali lagi diteruskan dengan lagu “Aku Ada” (Tam Spider / Budi Hekayat). Saya mendengarkan lagu ini saya kira Hazama memang ada chemistry yang baik dengan lagu-lagu ciptaan Tam Spider. Hal ini sudah dibuktikan menerusi lagu “Peneman”. Killer utama lagu ini ada pada korus dan liriknya. “Ingin aku ciptakan // Hari yang kelapan untukmu”. Saya mengulang dengar back to back Di Mimpiku dan Aku Ada – cukup melekakan.
“Pujangga” bergerak atas satu landasan kematangan dan kedewasaan Hazama sebagai pemuzik. Pengalaman yang dia miliki membentuk album ini sebagai satu perjalanan bunyi dan suara yang menjelaskan sisi sebenar Hazama. Album ini memiliki potensi besar untuk benar-benar dinikmati dengan meluas kerana lagu-lagu yang dihasilkan berada dalam kualiti yang sangat membanggakan.
Cuma kesangsian saya hanyalah pada dunia muzik yang sangat bergerak laju hari ini, album ini akan sedikit terkebelakang. Apa yang kurang pada “Pujangga” adalah satu daya tarikan untuk generasi muda mendekatinya. Generasi yang menjadi pengikut Haqiem Rusli atau Usop yang ada konsep muzik serupa dengan apa yang Hazama ada. Dan itu hal yang Hazama terlupa saya kira – andai kata lagu seperti “Tercipta” dan “Alami” itu adalah kolaborasi Hazama bersama Haqiem dan Usop – perjalanan album ini untuk menjerat generasi baru muzik begini akan lebih luas dan jalannya lebih mudah – atas nama pemasaran kolektif dua nama besar dalam satu produk.
7.5/10
ARTIKEL BERKAITAN