
Indonesia tidak pernah sunyi dengan bakat baru yang sentiasa membuat saya kagum dengan kemampuan bermuzik mereka. Belum sempat saya puas menikmati Pamungkas datang seorang lagi bakat yang masih hijau tetapi cukup besar visi bermuziknya. Gangga, sebuah nama yang memikat pendengaran penggemar muzik Indonesia dengan single “Blue Jeans”.
Ogos lalu Gangga merilis album perdananya yang berisi 10 lagu kesemuanya. “It’s Never Easy” menjadi judul yang saya kira cukup mentafsirkan sifat album ini. Mengangkat kisah patah hati, melepaskan dan merelakan – Gangga membawa emosinya berlayar dengan flow yang cukup mendamaikan.
Dibuka dengan “I Dont Need You” trak singkat kurang 2 minit ini memberi siren bahawa ini adalah jaluran muzik yang dibawanya dan jika anda belum siap untuk galau dalam cara anak muda hari ini pesan Gangga “I Dont Need You”. Lepaskan saja album ini pada pendengar lainnya.
Kegalauan Gangga diteruskan menerusi lagu berikutnya “It’s Always I Love You” setelah dia in denial di lagu sebelumnya, Gangga ternyata masih tidak mahu melepaskan cintanya itu. Melewati album ini seperti satu pelayaraan kisah yang cukup personal sekali. Lagu-lagu seperti “Ice Kiss” dan “Day After Day” tercipta dalam satu acuan muzik hari ini.
Melewati album ini mengingatkan saya pada Mikha Angelo di album perdananya. Kedua-dua bakat muda ini ada persamaan daripada segi feel dan cara mereka bercerita dalam lagu-lagu yag ditulis.
“Whiskey Bottle” antara yang memikat pendengaran saya. Melodinya terhasil dalam momentum yang digerakkan lirik yang baik “We were so tragic but it was magic.” antara bait yang menarik ditulis Gangga menerusi lagu ini. “Waiting For You” sebuah melodi pengharapan yang saya pasti tidak sukar untuk dinikmati kisahnya oleh kebanyakan kita.
Album ini saya sifatkan sebagai sebuah urusan perasaan yang sifatnya cukup kekinian. Cara Gangga menghasilkan melodi, penulisan liriknya semua berteras pada apa yang ada di kebanyakan pasaran muzik Pop global hari ini. Dan mendengarkan album ini jelas pengaruh muzik Gangga itu sendiri adalah apa yang cukup besar sekarang di pasaran komersial.
Gangga antara bakat baru yang unik dan menyenangkan. Album ini terhasil dengan sangat baik sehingga tiada satu pun yang berjaya membuat saya mahu skip. Dan pastinya saya menantikan lebih lagi penghasilan melodi-melodi ciptaannya di masa depan.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN
Terpesona Dalam Feel R&B Soul Kaleb J Menerusi Single “Now I Know”