
Lagu: Gadisku
Persembahan: lucidrari / FITTO / Gard
Komposer / Lirik: Megat Shazrul / Putra Haika
Produser: FITTO
“Gadisku” menjadi antara lagu yang diulang-ulang anak buah saya. Menerusi TikToK lagu ini mencipta momennya yang tersendiri dan sehingga hari ini dengan lebih 8 juta strim di Spotify saya kira kita tidak boleh menolak pengaruh lagu ini dalam membentuk suara baru muzik tempatan. Perhatian pada lucidrari membawa saya menghabiskan masa seminggu ini memahami rentak serta pemikiran anak-anak muda ini.
Generasi Pop tempatan hari ini sangat beragam dalam ilham muzik global mereka mencipta momen tersendiri. Hal ini jelas beberapa tahun kebelakangan ini, Yuji menerusi “Old Love”, Aisha Retno dengan “W.H.U.T” dan Saixe tahun lalu yang cukup berulang-ulang lagunya didengarkan menerusi “Malampagi”. Sebagai seorang millenial saya terinsipirasi daripada gen-z yang ada sudut pandang lain.
Dan atas nama pemikiran dan sudut pandang ini jugalah membuat saya teruja mencari tahu apa sebenarnya ada dengan “Gadisku” sehingga ia diraikan sebegitu besar sekali sifatnya tahun ini. Dicipta dalam ilham Hip-Hop dengan feel Urban Pop / R&B yang korusnya begitu mengikat pendengaran tanpa memaksa sesiapa pun bait “Gadisku // Boleh tak kau faham” itu akan berulang-ulang bermain.
Sejujurnya saya tidaklah begitu berminat sangat lagu ini awalnya. Biasalah untuk seseorang yang ada pengalaman mendengar lagu-lagu yang dicipta kompleks dengan chord serta instrumentasi yang formulanya datang dalam banyak pengaruh (Tua mungkin), lagu seperti “Gadisku” ini sekadar angin lalu saja bagi saya. Itu ego, saya tahu.
Namun seperti yang saya katakan awal tadi, saya tidak menolak pengaruhnya lagu ini sebagai representasi generasi muzik hari ini. Dan hal ini menarik minat saya untuk mencari tahu tentang pemikiran anak-anak muda dalam muzik hari ini. Seronok sebetulnya.
Lirik menjadi bahan fikir utama saya mendasari pemikiran Lucidrari dan FITTO dalam meramu lagu ini. “Lifestyle aku lanun // Aku penat kena kejar.” dan apa itu “Stack up all this Zeti.”? Dalam membaca penulisan dua anak muda ini mereka buat saya bingung. Dan saya ke TikTok untuk mencari jawapannya.
Dan ternyata “Zeti” yang diulang-ulang di lagu ini adalah perlambangan duit kertas dengan tandatangan gabenor Bank Negara, Zeti Aktar Aziz. Ok kreatif. Saya suka perlambangan begini ia benar-benar datang dengam satu pemikiran yang penulis senior takkan terfikir akan menggunakannya. But it’s good. Tersendiri dan saya anggap ia sebagai cara anak muda hari ini berfikir. “Aku nak fly oversea // aku nak pergi Paris // Tapi hidupku sepi // Hanya aku dan Zeti.”
Banyak bait-bait yang ditulis bersifat personal dan saya faham je kalau banyak orang-orang tua yang tak boleh relate dengan penghasilan “Gadisku” tapi tu masalah diorang lah kan. Siapa suruh tua and close minded?
Okey tapi tu tak penting sebab “Gadisku” setidaknya datang dengan persembahan muzik yang baik. Kalau saya hanya perlu mendengar persembahan muzik dan beat di lagu ini, ia masih bergerak atas paksi melodi yang baik dengan kemasan muzik yang terus memberi warna berbeza muzik tempatan. Saya paling tertarik pada minit 3:54 sehingga ke hujung lagu ini. Momentumnya baik, feel R&B & Neo-Soul pasca Maxwell dan October London diwujudkan biar sekejap tetapi dirasai.
“Gadisku” saya kira bergerak sebagai satu permulaan lucidrari dan FITTO untuk bertumbuh sebagai pemuzik yang matang di masa depan. Dalam satu persembahan yang beriring pesan that we have to be ready dengan mereka kerana formula muzik “Gadisku” ini akan memiliki satu kelangsungan dan hayat yang panjang untuk terus bergerak dalam radar Pop tempatan. Anak-anak muda seperti lucidrari, FITTO, Quai antaranya ada satu satu pemikiran serta cara baru untuk membentuk satu landskap baru muzik tempatan. Sampai nanti ada bakal yang mengganti, bakat lucidrari saya kira harus kita raikan.
9.5/10
ARTIKEL BERKAITAN