
Lagu: Gelita
Artis: Ernie Zakri
Komposer / Lirik: Helen Yap / Slen Fadzil
Produser: Helen Yap
Dominasi pasaran muzik Balada dengan nama-nama besar seperti Ernie Zakri hari ini membenarkan bakatnya benar-benar diraikan sebaiknya. Meneruskan legasi muzik Fauziah Latiff, Ziana Zain, Siti Nurhaliza dan Misha Omar, nama Ernie menjadi pelapis muzik yang cukup dibanggakan.
Hadir dengan album kedua “Aura” dalam persembahan penuh matang setelah lebih sedekad bermuzik dan meyakinkan penggemarnya, Ernie saya kira cemerlang menjalani penuh restu jalan telah disusun sebaiknya.
Banyak hal yang baik di album “Aura” namun saya begitu tertarik dengan melodi ciptaan Helen Yap berjudul “Gelita” ini yang dihasilkan cukup sentimental dan menyentuh sekali. Titik kematangan Ernie sebagai vokalis yang saya sifatkan juga sebagai persembahan vokal paling sederhana dan yang paling saya inginkan daripadanya.
“Gelita” mengingatkan saya pada ilham 2000’s Ballad yang ada di pasaran muzik tempatan. Mendengarkan lagu ini mengingatkan saya betapa terbuainya saya saat mendengarkan “Pelita di Bawah Purnama” (Ajai) dan “Lilitan Asmara” (Adnan Abu Hassan) yang terhasil dalam persembahan muzik yang matang dan timeless.
Dan hal serupa saya dapat dalam karya cipta Helen Yap ini yang seperti kita maklum cukup dominan dalam penghasilan lagu-lagu Pop (Bisikan Asmara, Itik Gembo Gembo, Engkau Bagaikan Permata). Magis Helen menghasilkan Balada buat saya senang mendengarkan hasilnya.
Lagu ini terhasil cukup kemas. Transisi dari verse ke korusnya disusun dalam momentum muzik yang dikawal dengan sebaiknya tanpa membenarkan ada ruang yang tidak seimbang antara muzik dan vokal kedengaran berlawan. (Cukup banyak dalam Balada hari ini yang bingit). Hal ini sangat penting dalam penghasilan Balada Melayu agar ia menciptakan sound yang seimbang. Dan saya fikir orang lama seperti Helen sahaja yang bijak dalam hal-hal keseimbangan dalam muzik ini.
Vokal Ernie berada dititik paling matang di lagu ini. Tiada lagi head voice, falsetto yang tidak perlu di sela seli lagu. Tiada juga adlib yang tidak perlu di music bridge seperti di single-single sebelumnya.
Dia menyanyikan lagu ini dengan sebaik-baik emosi yang mengalir mengikut kehendak melodi. Kesederhanaan yang dia persembahankan di lagu inilah yang sangat dituntut untuk sebuah Balada. Hal-hal yang berlebihan itu simpan di pentas live sahaja.
“Gelita” Balada Melayu yang solid dan matang. Perasaan dan penceritaannya sangat baik dan menyentuh tanpa terasa dipaksa-paksa. Perasaan yang sama saya dapat di lagu “Tanpa Rela” (Misha Omar) dan “Angkara” (Siti Nordiana). Beautiful Ballad.
8.8/10
ARTIKEL BERKAITAN