
Sakti yang ada pada seseorang penghibur adalah kuasanya dalam mengikat pendengar dan pengamat muzik dengan sebuah kelangsungan muzik yang berpanjangan dan tanpa putus. Setelah Sharifah Aini, Sheila Majid adalah personanya. Empat dekad dia lalui cukup konsisten menghiburkan lapisan generasi yang berganti.
Malam 8 November semalam akan diingati 9 ribu penonton yang hadir di Axiata Arena. Saya bersama teman media di sebelah berbual panjang sebelum konsert bermula, melihat stadium penuh di setiap kerusi dan sudut. Dan yang mengundang kekaguman kami adalah diveristy crowd yang hadir malam tadi. – melewati batas bangsa, kewarganegaraan malah usia.
Daya kuasa ini yang mungkin penghibur lain tiada dan Sheila berjaya menyatukan serumpun masyarakat nusantara menonton konsertnya. Magikal sekali. Sheila malam tadi membuka persembahan dengan rangkaian lagu-lagu Pop seperti Warna, Nada, Dia, Inikah Cinta, Catat dan Embun. Tanpa perlu berlebihan, dia adalah bukti when your presence is big, you don’t need anything else to stand out.

Sheila membuat semua menyanyi, menari dan saya yang melihat dari atas stadium menyaksikan betapa bebasnya crowd malam tersebut berekspresif dalam melayani lagu-lagunya. Malam diteruskan dengan persembahan Balada Ratu, Di Dalam Emosi Ini, Gemilang, Gerimis Semalam dan juga Datanglah.
Dua jam konsert berlangsung tiada momen kosong. Lagu-lagu dipersembahkan sebaiknya dan saya senang dengan pendirian Sheila untuk tidak terlalu mengubah susunan muzik untuk menjadi terlalu berbeza daripada versi asal.
Saya pasti yang hadir mahu menyanyi dan berhibur bersama dan Sheila faham akan hal ini. Namun Mac Chew sebagai Pengarah Muzik masih memberi justifikasi terbaik pada setiap kemasan muzik yang dibuat untuk konsert ini untuk benar-benar menyerlah.

Malam semakin menyenangkan pabila Sheila mula menyanyikan lagu-lagu yang dinanti semua – Ku Mohon dan Kerinduan yang menyentuh emosi dan membuat setiap penonton terpaku saat dia menyanyikan kedua-dua lagu tersebut.
Sebagai penggemar era awal Sheila saya juga lega dia tidak meminggirkan lagu-lagu seperti Persis (My all time favorite), Bahagia, Fikirkan Dulu, Relakan dan Nada antaranya. Buat pertama kalinya juga Sheila mempersembahkan lagu berjudul Catat ciptaan Odie Agam di pentas konsert.
Konsert malam tersebut ditutup dengan Memori, Pengemis Muda dan Sinaran. Sebagai peminat saya puas, bahagia dan ini semestinya akan menjadi antara konsert yang akan saya ingati sepanjang bersama Sheila Majid sepanjang kariernya. Sheila bersahaja di pentas dan pengalamannya adalah bukti pendewasaan – dia tahu apa yang perlu dan tidak untuk benar-benar menghiburkan.
She’s truly a legend.
kesemua gambar: altus_prohouse
ARTIKEL BERKAITAN