
Pemasaran muzik Elizabeth Tan seakan membeku seketika setelah fasa “Knock Knock” dan “Setia” yang membawa namanya dikenali sekitar 2016. Dalam beberapa single selepas itu seperti “Tabah” (Audi Mok) dan “Darling” (Bo Amir), Lizzy agak struggle dalam mencari formula tepat dalam memikat pasaran muzik tempatan dengan lambakan bakat baru yang menjual idea Balada bunuh diri.
Namun tidak sekadar mahu terhenti di garisan itu, Lizzy kembali bangkit tahun lalu dengan pengurusan Warner Music dengan melancarkan single “Police Entry” dengan kejayaan luar biasa 9 Juta view di YouTube dan lebih 1 Juta jumlah strim di Spotify untuk single karya Hael dan Ezra itu.
Dan tidak mahu membuang lebih banyak masa, Elizabeth Tan dengan team pemasarannya melancarkan single “Semua Sudah” karya cipta sepenuhnya Alif bersama gandingan lirik tulisan bersama Lizzy sendiri. Nuansa Pop Semasa yang cukup kental sifat muzik Alif ini dicipta penuh groove dalam memikat pendengaran tempatan. And we believe this is how you do Pop in 2019.
Melodi Alif seperti biasa sentiasa tampil dengan ‘hook’ tersendiri yang cukup segar dalam menghasilkan sesuatu yang moden dan terkini. Selain penulisan bait-bait lirik bersahaja yang begitu sinonim dengan karya-karya Alif sebelum ini. Melodi yang catchy, lirik bersahaja yang cukup mudah untuk pendengar ikut dan hafal. “Semua sudah, Nampak pun sudah Kenal pun sudah Sayang pun sudah Gaduh pun sudah Semua sudah…”
Sepertimana dengan begitu kool dia menulis “Sibuk” untuk Kaka, Alif meneruskan penciptaan lagu yang saya kira harus menjadi paksi pop tempatan hari ini. Semua Sudah kini tersedia di semua gedung muzik digital dan muzik videonya dilancarkan 11 Januari lalu sudah mencecah jumlah 1 Juta tontonan sehingga artikel ini ditulis.