
Lagu: Padam dan Pergi
Artis: Imran Ajmain
Komposer / Lirik: Imran Ajmain / Ahmadul Amin
“Seribu Tahun” menjadi lagu rezeki buat Imran Ajmain bernadi sebagai seorang penyanyi di Malaysia. Masih didengari dan digemari biar hampir dua dekad usianya. Bergerak sebagai penghibur Pop yang tidak selalu muncul dengan lagu baru, Imran Ajmain tetap menjadi bakat yang sentiasa dinantikan kehadirannya.
Setelah dua single “Sentiasa Merinding” dan “Intan dan Perak”, mengisi katalog muzik Pop nya, Imran melangkah konsisten untuk sentiasa berpentas sama ada kecil atau besar skalanya, langkah yang disusun masih beriring permintaan.
Terkini lewat Disember lalu, Imran Ajmain kembali merilis sebuah lagi lagu terbaru untuk penggemarnya. Diberi judul “Padam dan Pergi” lagu dicipta Imran bersama Ahmadul Amin ini datang dengan ilham Pop yang lebih baru dan segar berbanding apa yang pernah dia hasilkan sebelum ini.
Masih berlarut ilham lirik galau, melodinya disusun kemas dengan feel Pop yang tidak menjadikan lagu ini terhasil terlalu mendayu. Vokal Imran juga melengkapi kehendak melodi yang terhasil sebaiknya.
Penulisan liriknya sangat baik. Bait “Sayangnya warna sebenarmu // Bulan dari kuning emas // Putihnya awan dan kini jadi kelabu.” sebelum korusnya berhujung “Relaku mula // Hidup semula sekali lagi”. “Padam dan Pergi” terhasil sebagai sebuah naskhah yang muziknya serba baru berbanding apa yang biasa dipersembahkan Imran sebelum-sebelum ini.
7.5/10
ARTIKEL BERKAITAN