
Lagu: Kau Harus Pergi
Artis: Casey
Komposer / Lirik: Kesavan K. Subramaniam
Soloist Pop R&B, Casey cukup dikenali dengan hits “Seribu Impian” dan “Jangan Ada Benci” di era 90-an. Berbekal dua buah album, Casey meniti bibir penggemar muzik ketika itu dengan Pop yang segar berbanding apa yang ada di pasaran muzik solo lelaki ketika itu.
Menerusi album keduanya Casey hadir lebih eksperimental dengan sound Jazz dan R&B yang lebih kental bersama produser Michael Veerapen. Melodi di dalamnya tidaklah se-catchy album perdananya tetapi dengan kerjasama Fauzi Marzuki ketika itu dia berjaya menzahirkan “Jangan Ada Benci” yang menjadi satu-satunya single di album tersebut.
Setelah itu Casey memilih untuk aktif sebagai pemuzik sahaja. Kebolehannya bermain bass dan minat dalam produksi muzik belakang tabir juga bermuzik secara langsung di pentas-pentas kecil menenggelamkan nama Casey dalam pasaran muzik komersial. Pada masa yang sama Casey pun saya kira sudah give-up nak layan mainstream, agaknyalah.
Maka dengan itu dia tinggalkan kita dengan ingatan menerusi lagu-lagunya sahaja sehinggalah selepas 25 tahun “Menatap Memori” album keduanya beredar Casey menzahirkan sebuah single Soul / R&B berjudul “Kau Harus Pergi” yang dicipta sepenuhnya sendiri.
Terhasil dalam jaluran muzik yang cukup kuat pengaruh R&B dengan feel Jazz di sepanjang lagu berdurasi 7 minit ini, Casey membuat saya melayang menikmati alunan suara dan melodi yang menyantum sebagai sebuah naskhah yang cukup solid sekali. Tidak terasa lamanya, saya membayangkan betapa seronoknya lagu ini dinikmati dalam persembahan live Casey.
Mendengarkan lagu ini saya pasti ini adalah arah muziknya yang sebenar. Seperti apa yang dia lakukan di album “Menatap Memori” 25 tahun sudah dengan feel yang lebih current, berat jiwanya dan cukup detail di bahagian susunan muziknya yang dirakam cukup kemas sekali.
“Kau Harus Pergi” bergerak sebagai naskhah Soulful Ballad yang saya sangat pasti bukan datangnya dari generasi Tik Tok tetapi lebih kepada penggemar muzik yang lebih matang yang sentiasa mahu dicabar dengan sound lama yang dibikin dengan cara baru, feel baru. Dan saya dapat semua itu di lagu ini.
9.8/10
ARTIKEL BERKAITAN
Gerakan Jazz Fairuz Hussein Diteruskan Menerusi Single “Antara Seribu”