
Lagu: Bukan Lagi Kita
Artis: Nadeera
Komposer / Lirik: Hael Husaini / Iqie Hugh
Produser: Iqie Hugh
Nama Nadeera disebut-sebut sebagai pelapis muzik Pop dalam jaluran Balada khususnya sejak kemenangannya di Big Stage beberapa tahun lalu. Berhasil menyajikan beberapa single seperti “Emas”, “Boneka Tanpa Hati” dan “Udara” – Nadeera laju dalam pemasaran muziknya. Namun apa yang masih kurang adalah lagu yang kuat untuk benar-benar membawa namanya menjadi lebih besar lagi.
Tiga single terawal yang dirilis usai fasa big stage itu tidaklah begitu benar-benar meyakinkan pendengar namun masih ada ruang lagi sebetulnya untuk dia mencari gali lagi apa yang harus dilakukan untuk menarik minat pendengar tempatan dengan pencabar sedia ada yang sudah sangat kuat pengikutnya.
Terkini bersama Rocketfuel dengan karya cipta Hael Husaini bersama Iqie Hugh – Nadeera merilis sebuah lagi power Ballad dengan kemasan muzik yang segar dalam lagu “Bukan Lagi Kita”.
Mendengarkannya pada kali pertama Nadeera sudah membuat saya terikat dengan persembahan keseluruhan. Kolaborasi Hael dan Iqie sudah dibuktikan kehebatannya menerusi single “Diam” dan menerusi single ini kolaborasi ini memberi kelebihan untuk Nadeera bersinar.
“Bukan Lagi Kita” saya kira menjadi penanda aras adakah pendengar tempatan benar-benar mahu meraikannya sebagai pemain industri. Secara keseluruhannya lagu ini terhasil tepat dengan kemampuan luar biasa Nadeera sebagai pelantun utama.
Melodinya sedap didengar dengan korus yang mengikat dan ia pasti tidak sukar membuat pendengar tempatan larut dalam persembahan penuh tenaga Nadeera. Cuma yang menggangu saya tentang penghasilan lagu ini adalah temponya yang agak laju. Hal ini membuatkan saya rasa ia kedengaran terburu-buru dan sedikit bingit di beberapa bahagian. Cuma saya harus memuji kemasan muziknya, momentum lagu ini berhujung dengan sangat kemas dan memuaskan sekali.
Jika mahu dibandingkan dengan tiga single yang dihasilkan sebelum ini, Nadeera hadir ternyata lebih meyakinkan di lagu terbarunya ini. Persembahannya segar untuk sebuah Balada dan Nadeera sendiri benar-benar membuat kita puas dengan persembahan vokalnya.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN