Ketika Raihan muncul di tahun 1997 dengan debut “Puji-Pujian”syarikat rakaman Warner Music ketika itu sudah cukup siap memberi satu variasi beragam muzik tempatan dengan produk nasyid yang dikontemporarikan muziknya dalam kualiti rakaman yang cukup membanggakan.
Dan ketika itu juga Warner Music memberi revolusi segar muzik Dangdut yang didominasi Iwan, Amelina dan Mas Idayu juga Sheeda. “Dang Dang Dut”album kolaborasi tiga nama besar muzik Dangdut ketika itu begitu booming sekali dengan hits “Yang Tersayang”.
Setelah itu sehingga ke hujung era 90-an, Warner Music tidak putus memberi evolusi Pop yang segar dan dominan di pasar besar mainstream. Dan usaha yang dilakukan Warner ini tentu saja diteruskan batallion muzik Positive Tone yang dikepalai ilham berani Ahmad Izham Omar mengangkat pasaran muzik Urban.
Maka lahirkan bakat-bakat indie seperti Butterfingers, O@G, Juliet The Orange, Jason Lo, Poetic Ammo dan lainnya. Masih ingat Deanna Yusoff pernah tampil dengan album berjudul “FIX” sebagai jelmaan Kylie Minoque Malaysia dalam ilham Dance Pop yang membangakan.
Begitu juga dengan kemunculan semula Liza Aziz dalam sebuah rendisi R&B yang cemerlang menerusi album berjudul “Hati Ini” dengan barisan produser hebat Paul Moss, Azlan Abu Hassan, Kenny Tay dan Izham sendiri.
FUTURE IS 1999!
Tahun 1999 antara tahun cemerlang pasaran muzik tempatan. Semua syarikat rakaman berlumba-lumba menghasilkan muzik yang berkualiti dan berkelas tersendiri.
NSR ditangan Iman Wan menghasilkan duo Pop “Moin” dengan hits malar segar “Kau Yang Ku Sayang” – Jika didengar kembali setelah 20 Tahun beredar, lagu tersebut masih catchy, segar dan tidak ketinggalan.
Sony Music ketika itu gemilang dengan mid-tempo Pop Amy Mastura (Kedua) dan Erra Fazira (Jendela Hati) -dua bintang Pop yang cukup tersendiri konsep muzik mereka. Selain menghasilkan Abot di tahun 1996 dengan dua album – Alternatif Buat Orang Timur (1996) dan Tak Tahu? (1997).
Suria Records (SRC) ketika itu sedang memuncak dengan barisan penyanyi wanita yang rata-ratanya tampil penuh pesona dengan vokal masing-masing. Selain Siti yang paling aktif menghasilkan setidaknya 2 album setiap tahun beberapa nama lain seperti Noraniza Idris (Tinting) dan Liza Hanim (Ku Idamkan Rindu) – Anis Suraya diperkenalkan dengan gemersik merdu “Setiap Nafasku Kernamu” dan “Cinta Tersimpul Rapi”.
Pasaran muzik 1999 juga mengembalikan Syafinaz menerusi hits “Ingin Bersamamu” dalam satu rencah Kontemporari R&B dengan suara barunya ketika itu yang totally berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkannya di album sebelumnya.
Bakat-bakat baru ketika itu seperti Dayang Nurfaizah (Hakikat Cinta), Shawn Bahrain (Ceria Kembali), Juliana Banos (Mana Satu) mencipta momen tersendiri karier muzik mereka.
Di pasar besar muzik yang lebih berat, Butterfingers menzahirkan sebuah repertoire rock yang datang dengan kualiti rakaman yang cukup membanggakan. Gitar solo yang disambur string menerusi The Chemistry (Between Us) akan sentiasa diingati sebagai sebuah naskhah rock terbaik tempatan.
Sebagai sebuah apresiasi khusus pembikin muzik 2 Dekad lalu, Berikut kami tampilkan senarai Rilis Terbaik di Tahun 1999.
KU MOHON
Penyanyi: Sheila Majid
Komposer: Mac Chew
Lirik: Sheila Majid
Hadir sebagai sebuah Pop kerohanian, Mac Chew dan Sheila menghadirkan sebuah naskhah melodious paling indah dan jujur dalam pasaran muzik tempatan ketika itu. Realisme Sheila dalam penulisan liriknya menjadi lembar puitis dalam lagu yang paling diingati sehingga hari ini.
AKHIRNYA
Penyanyi: Camelia & Innuendo
Komposer: Ahmad Izham Omar, Pot, Kenny Tay
Lirik: Rizal Kamaruzzaman
Komposisi lagu ini tampil dalam kemasan muzik yang cukup original dan tersendiri. Akhirnya lengkap sebagai sebuah naskhah Pop malar segar yang cukup baik penghasilannya dalam sejarah muzik Pop.
HATI KAMA
Komposer: Pak Ngah
Lirik: Khairul Anwar Harun
Penyanyi: Siti Nurhaliza & Noraniza Idris
Pasaran muzik Pop Tradisional bergerak cemerlang di tangan arwah Pak Ngah yang cukup aktif menghasilkan lagu-lagu tradisi dengan cukup dinamik. “Hati Kama” menjadi antara naskhah yang cukup berjaya sepanjang sejarah gemilangnya muzik tradisi. Kolaborasi Siti dan Ani ibarat sebuah kesempurnaan yang meninggalkan kenangan manis pasaran muzik tempatan.
JANGAN LAFAZKAN
Penyanyi: KRU
Komposer: Norman, Yusry, Edry
Lirik: Norman, Yusry, Edry
Grup tiga beradik ini antara yang sering memberi revolusi dalam persembahan Pop mereka. Album “Formula Luar Biasa” dihasilkan dengan sebuah hits malar segar berjudul “Jangan Lafzakan” yang tentunya sudah menjadi anthem ballad gerakan Pop mereka sehingga memutuskan untuk berkubur tahun lalu.
SENYUM
Penyanyi: Raihan
Komposer: Che Amran, Farihin Abd. Fattah, Zarie
Muzik Nasyid yang di kontemporari elemen Pop banyak membantu genre ini diterima meluas pasaran muzik semasa. Dengan melodi catchy, lirik positif dan harmoni Raihan dalam setiap penyampaian mereka menghasilkan hits di album ketiga berjudul “Senyum” yang meneruskan kelangsungan populariti mereka menerusi lagu seperti “Puji-Pujian”, “Iman Mutiara” dan “Syukur” di album sebelum. “Senyum” tampil cukup humanis dengan kelembutan melodi dalam teguran sosial yang menyenangkan.
POSITIF
Penyanyi: Man Bai
Komposer / Lirik: Pacai, Man Bai
Pop Progresif Man Bai menerusi debut hits “Kau Ilhamku” diteruskan menerusi album keduanya yang berjudul “Positif” – bekerjasama dengan Pacai, lagu berjudul “Positif” dihasilkan dengan cukup ke depan. Elemen lokal diselitkan dalam lagu ini dengan penggunaan instrumen seperti sitar dan lebih menambah menarik lagu ini sample dialog filem P.Ramlee diselitkan sebagi satu elemen hiburan yang memberi hook pada lagu ini.
INGIN BERSAMAMU
Penyanyi: Syafinaz
Komposer: Aubrey Suwito
Lirik: Tesh RS.
Syafinaz hadir penuh pesona dengan feel Soulful Ballad berjudul “Ingin Bersamamu” yang mengalihkan pandangan pasaran muzik ketika itu untuk melihat apa yang ditawarkan Syafinaz versi terbaru ini. Dan ternyata percaturan memilih lagu ini sebagai single perdana kemunculan kembalinya dalam pasaran muzik semasa begitu menjadi sekali. “Ingin Bersamamu” tidak hanya menjadi di Malaysia, fenomenanya mendapat perhatian hingga ke tanah seberang Jakarta. Ahmad Dhani pernah menyatakan lagu ini antara lagu tempatan kegemarannya.
THE CHEMISTRY (BETWEEN US)
Penyanyi: Butterfingers
Komposer / Lirik: Emmet, Loque
Pasaran muzik Indie digerakkan cukup progresif oleh Butterfingers dan O@G ketika itu. Penghasilan album “Transcendence” dua dekad lalu menjadi bukti pasaran muzik tempatan ketika itu cukup beragam dalam rencana memajukan pasaran muzik lokal. Single “The Chemistry” ini menjadi bukti utuh untuk melihat betapa besar dan luasnya pasaran muzik tempatan dua dekad lalu.
EYELASH
Penyanyi: Juliet The Orange
Komposer / Lirik: Lau Pin Lean
Pasaran muzik indie diteruskan Postive Tone dengan duo bergelar Juliet The Orange yang tampil dengan hits “Eyelash” yang mengendong ilhan alternatif Pop yang cukup segar ketika itu. Fakta menarik debut duo ini, album self-titled mereka ini mengungguli kategori Album Inggeris Tempatan Terbaik – Anugerah Indistri Muzik Ke-7 menghampakan Butterfingers (Transcendence), O@G (Melody Mocker) dan Jason Lo (Days Without Dawn).
HATI INI TELAH DILUKAI
Penyanyi: Krisdayanti
Komposer / Lirik: Ajai, Nasser Abdul Kassim
Hati Ini Telah Dilukai tampil dalam pesona Balada Ajai yang cukup solid membuai rasa. Persembahan cemerlang Krisdayanti memberi justifikasi terbaik menerusi lagu yang diedarkan sebagai album perdana kemunculan Krisdayanti di Malaysia dengan single utama “Menghitung Hari”. Lagu ini turut mendapat pencalonan AIM 7 menerusi kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu bersama calon lain Akhirnya, Ingin Bersamamu, Kisah Seorang Biduan namun tewas pada keindahan lagu “Ku Mohon”.
ARTIKEL BERKAITAN
Menuju Hujungnya 2019, Kenali 5 “Pop Creator” Paling Berpengaruh Tempatan