
OF METHODIST
Mendengar pasaran muzik Pop semasa Singapura dengan barisan bakat yang rata-ratanya mendominasi genre Urban Pop dengan pengaruh R&B, EDM, Hip-Hop yang dimodenkan dalam feel Pop sesuatu yang cukup mengujakan.
Aisyah Aziz, Sezairi dan The Sam Willows sudah mencipta momen mereka tersendiri dalam pasaran muzik mainstream. Menghabiskan masa dalam beberapa minggu ini mengenal lebih dekat pasaran muzik semasa Singapura menemukan saya dengan beberapa bakat muda yang cukup memikat.
Rata-ratanya memilih untuk membentuk satu pasaran muzik urban dengan inspirasi muzik popular hari ini sebagai rujukan.
Maka lahirlah Sam Smith juga Troye Sivan versi Singapura – ada baiknya kerana muzik mereka cukup segar dan bereskperimentasi dengan bunyi-bunyian baru yang promising.
Sebetulnya pencarian saya akan bakat-bakat mudah Singapura ini berawal dengan obsesi terhadap Sezairi yang semakin matang menyusung rangka kerjanya. Dengan hits “It’s You” tahun lalu yang cukup memberi impak besar kariernya, Sezairi tampil semakin mengujakan dengan single terbarunya “In Secret” yang cukup solid sebagai naskhah Pop semasa yang sangat baik penghasilannya.

sezairi
Dua lagu tersebut berserta single “Mirage” yang diedar sebelum In Secret menjadi bukti bakat Singapura juga ada sesuatu yang cukup boleh dibanggakan. Tahun lalu juga kita diperkenalkan dengan Yung Raja dan Fariz Jabba yang sudah memasuki pasaran tempatan dengan hits mereka seperti “Mustafa” dan “Ape Sia”.
Kegilaan anak muda terhadap Fariz Jabba kembali semarak dengan single terbarunya “Masa” yang tampil lebih catchy. Dan tanpa membuang banyak masa lagu tersebut berjaya menembus carta muzik strim 10 Tertinggi yang disenaraikan pihak RIM pada minggu pertama ia diedarkan.
Gareth Fernandez cukup memikat dalam pengaruh Pop Justin Timberlake dan Sam Smith dalam beberapa lagunya.
Gareth yang memulakan kembara karier muziknya sekitar 2014 dengan single perdana “Subliminal Love” tampil kental Pop R&B dalam EP empat lagu pertamanya. Tahun ini dia sempat menghasilkan dua single “Drowning” dan “Achilles” yang semakin matang produksi muziknya.
Mendengar “Achilles” mengingatkan saya betapa besarnya pengaruh muzik Sam Smith dalam single ini. Gareth memiliki suara yang cocok untuk persembahan Pop R&B dengan feel lo-fi atau EDM yang sederhana.

Gareth Fernandez
Selain Gareth Fernandez seorang lagi bakat muda menggelar dirinya “Of Methodist” juga tampil dalam ilham R&B lo-fi ala Troye Sivan. Namun pendengarn saya lebih terarah pada Charlie Lim yang sempat mengedarkan album solo keduanya tahun lalu berjudul “CHECK-HOOK” dalam feel James Blake dan Jamie Woon.
Charlie bagi saya sebuah eksperimentasi muzik yang sangat berjaya dalam beat-beat lembut melodi Pop yang disatukan cukup baik sifatnya. Lagu-lagu dalam album perdana solonya “TIME/SPACE” yang beredar di tahun 2016 ketika itu menjadi satu penanda aras yang baik pasaran muzik seberang dalam merencana bakat-bakat berkualiti tinggi.
“TIME / SPACE” tampil ilham R&B / Big band / Jazz yang disatukan baik dalam paduan Pop. Dengarkan sahaja single “Blah Blah Blues” yang cukup solid produksi muziknya. Dan di album “CHECK-HOOK”, Charlie tampil lebih up to date dengan mencuba pasaran R&B Lo-fi yang sederhana tapi masih memiliki hook pada melodinya.

charlie lim
Bakat wanita tidak kurang hebatnya. “Mars B” antara yang paling menarik perhatian, seperti jelmaan Corinne Bailey-Rae di era Ruth B umpamanya. Feel dalam EP berjudul “Still” yang diedarkan tahun lalu memberi dimensi segar pasaran muzik Singapura.
Pasaran muzik Hip-Hop selain yang menonjol seperti Fariz Jabba dan Yung Raja terdapat beberapa nama lain yang seharusnya diberi lebih perhatian. FAUXE dalam album 16 lagu yang mengangkat adunan semula lagu-lagu Melayu klasik menghasilkan sesuatu yang cukup segar dengan idea di luar kotak.
Mendengar album yang berjudul “Ikhlas” membuatkan saya melayang dalam satu ilham luar biasa melestarikan melodi-melodi klasik Melayu, Cina dan India dalam pasaran muzik semasa. Jika anda masih belum mendengarkan album ini, saya seru untuk anda tukarkan seketika lagu yang sedang anda dengar dan resapi ilham kreatif FAUXE.

“ikhlas” menjadi antara album terbaik yang dihasilkan bakat singapura tahun lalu
Gelombang baru anak-anak muda ini saya kira mampu membawa satu langkah jauh ke depan pasaran muzik Singapura. I mean bukanlah pasaran Sufi Rashid terlalu lembik sifat muziknya tetapi lebih kepada menyambung lestari The Sam Willows yang membuat keputusan untuk berehat dan Sezairi yang semakin membanggakan.
Yang masih kita kenal mungkin hanya Imran Ajmain, Taufik Batisah, Hadi Mirza, Sufi Rashid dan Aisyah Aziz tetapi sebetulnya masih banyak lagi bakat kota Singapura yang kurang dikenali di sini memiliki bakat lebih besar dan membanggakan.
Beberapa nama lain yang promising adalah Akid Amir, MEAN, Leon Markus dan ABANGSAPAU yang punya kraf muzik bervisi dan ke depan. Telah tersedia disusun senarai lagu bakat-bakat kota Singapura yang perlu anda beri perhatian sepanjang tahun ini di Spotify MK.
Gareth Fernandez
Of Methodist
Dominic Chin
Fauxe
DEON
Sam Rui
Mars B
Soulful Ghosts
MEAN
Akid Amir
Leon Markus