
Lagu: 011
Artis: Aziz Harun
Komposer / Lirik: Iqie Hugh / Aziz Harun / Romeo
Produser: Iqie Hugh
Cukup konsisten dalam menyusun kembara bermuziknya, Aziz Harun mengambil setiap peluang yang ada sebaiknya untuk dia terus menyinar dengan penghasilan lagu-lagu baru yang memberi keterujaan buat penggemarnya sejak lebih tujuh tahun bermuzik.
Tahun lalu berbekal single “Kan” dan “Kita” (Kolaborasi bersama Alan D) Aziz utuh dalam landskap muzik Pop yang terhasil dalam persembahan Pop yang muda dan segar. Muzik Aziz konsisten dalam paduan Pop dan Akustik berubah kala di merilis “Hanya Mahukan Bye” yang menyuntik kesegaran berbeza dalam menikmati muzik Aziz Harun.
Tanpa mahu memperlahankan langkah yang sudah diatur baik, Aziz melewati kematangan sebagai pemuzik juga penyanyi dengan single terbaru “011” sebagai langkah pemula di tahun baru ini dengan sebuah persembahan muzik yang cukup cemerlang.
Kolaborasi perdana Aziz dan future Pop producer, Iqie Hugh menghasilkan sesuatu yang cukup current, segar dan moden – naskhah yang sangat diperlukan pasaran muzik tempatan. Melodinya terhasil cukup catchy dengan produksi muzik yang sangat baik.
“011” saya kira bergerak sebagai sebuah titik matang perkembangan muzik Aziz. Korusnya cemerlang dan saya sangat sukakan idea penulisan liriknya yang tidak terikat dengan ilham serupa. Sifatnya lebih current seperti apa yang banyak terhasil di pasaran global hari ini. “Jika kau perluku // 011 // Permulaan baru hidup kamu // Hubungi diriku // 011 / Ajari diriku // Cara tuk mendekatimu.”
Mendengarkan lagu ini ibarat melihat peralihan trend Pop semasa di era Jason Mraz yang titian jalinannya sempurna bersambung di era Pop Ed Sheeran yang cukup popular hari ini. Dan “011” ibarat penyatuan dua generasi Pop ini yang membentuk Aziz sebagai pemuzik yang cukup dinantikan apa lagi yang bakal berhasil selepas ini.
8.5/10
ARTIKEL BERKAITAN