
Album: Antonim Pt. 1
Artis: Hael Husaini
Komposer / Lirik / Produser: Ezra Kong / Iqie Hugh / Firdaus Rahmat / Omar K / Hanis Rafi
Bergerak sebagai seorang bintang Pop yang begitu diraikan muziknya, Hael Husaini sudah membuktikan pada kita semua akan keseriusannya untuk bekerja dalam skala kreatifnya yang tak terbatas. Tidak hanya bergerak sebagai penyanyi, Hael meluaskan landskap muzik yang dia miliki sebagai komposer yang baik.
Hal ini sudah jelas dalam portfolio muziknya yang cukup prolifik dan diperakui. Sejak “Jampi” sehingga “Hajat”, “Haram” and the list goes on, Hael Husaini saya sifatkan sebagai salah satu gerakan Pop yang sangat penting dalam membentuk satu sound yang meninggikan standard muzik tempatan ke tahap yang sangat baik.
Hasil daripadanya, karya-karya yang diciptakan tidak hanya untuk rakaman lagunya semata-mata namun melodi ciptaa Hael sudah dinyanyikan penghibur papan atas daripada Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor juga Wany Hasrita semua sudah memperakui kebolehannya.
Meneruskan kelangsungan bermuzik yang tiada putusnya buat Hael, “Antonim pt. 1” menjadi pertaruhan terbaru tahun ini sebagai sebuah album mini yang menjadi pentafsiran terbaik muzik yang mahu dia tonjolkan.
Terbuka untuk bekerja dengan bakat-bakat baru dalam komposisi muzik, nama seperti Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi mengisi persembahan perdana Antonim dalam persembahan enam lagu keseluruhan yang ada.
Dibuka dengan single yang menjadi focus track di album ini “Diam” (Iqie Hugh / Hael Husaini) dihasilkan dalam sebuah persembahan yang momentum muziknya cukup luar biasa. Melodi lagu ini ditinggikan standardnya dengan instrumentasi, efek dan produksi muzik yang sangat-sangat baik.
Melodinya addictive, teras Popnya dimanipulasi sebaik-baiknya dengan susunan muzik yang cukup current dan dinamik. Korusnya semakin baik di bahagian kedua sehingga penghujung. Sempurna sebagai sebuah Pop yang cukup tenaganya, kreativitinya juga nilai komersil yang cukup tinggi.
Ini antara Pop yang cukup hebat saya dengarkan dalam masa dua tiga bulan kebelakangan ini. Semua aspek membaluti sempurna sesama sendiri – baik melodi, lirik, kemasan muzik sehingga persembahan vokal Hael. Untuk penghasilan lagu ini sahaja saya boleh markah penuh untuk kebijaksanaan Hael dan Iqie meramu sebuah Pop yang sebegini hebat sound yang dihasilkan.
Kehebatan “Diam” diteruskan dengan komposisi muzik Hael bersama Ezra Kong di lagu “Usia” yang asas Balada pada melodi ini dikemaskan dengan susunan muzik Pop yang memiliki attitude yang tersendiri. Melodinya mengikat dengan sekali pendengaran. Melayaninya dengan mambaca penulisan liriknya cukup membuai dan kecanduan.
Diteruskan dengan “Kejora” (Hanis Rafi / Firdaus Rahmat / Hael Husaini) yang lebih mellow dan melankolis. Persembahan vokal Hael cukup baik di lagu ini – menyeimbangi kehendak melodi juga lirik dengan sangat baik. Ada beberapa momen yang saya kira di lagu ini kedengaran cukup merdu sekali terutama sekali saat dia menyampaikan bait “Bahagia terasa // Bertanya naluriku”.
Tiga lagu terawal di album ini sudah membuat saya benar-benar teruja menikmati kreativiti bermuzik Hael sebelum diteruskan dengan “Hero” (Iqie Hugh / Hael Husaini) datang dengan idea yang lebih fun untuk memecah ilham Pop dengan infusi riff gitar yang keras menerusi instrumentasi muziknya.
Ditutup dengan “Please” dan “Sama Seperti Dulu” yang diramu kembali dengan string session berbeza dengan versi asal, namun saya kira versi asalnya terlalu baik untuk saya move on dengan versi yang baru ini.
“Antonim Pt.1” sebuah naskhah Pop yang solid untuk membebaskan Hael bekerja dengan standard kreativitinya yang cukup tinggi. Kualiti yang diberikan menerusi keseluruhan persembahan album ini saya kira harus dijadikan benchmark untuk semua pemuzik Pop hari ini.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN