
Perkhabaran cukup menarik minggu ini pabila Warner Music Malaysia mengumumkan pelancaran label terbaru “Black Hat Cat” yang memberi fokus pada pasaran muzik urban tempatan.
Label baru ini akan dikemudi produser dan rapper muda Alif yang bagi kami ternyata pilihan tepat dan paling relevan dengan pasaran muzik urban hari ini.
Tumpuan Black Hat Cat adalah untuk memberi fokus pada pasaran muzik Electronic Dance Music (EDM), Hip-Hop, Jazz, Soul Raggae dan gabungan genre-genre tersebut.
EDM menjadi aliran muzik yang berkembang pesat ke seluruh dunia. Dan ini adalah peluang terbaik untuk Black Hat Cat meneroka pasaran muzik ini dan menawarkan sesuatu yang berbeza untuk pendengar muzik tempatan. – Darren Choy
Menurut Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy menjelaskan bahawa idea penubuhan Black Hat Cat bermula dari aspirasi pihak Warner Music Malaysia untuk meneroka pasaran ‘Urban Music’ di Malaysia.
Mengulas tentang pemilihan Alif, Darren berkata, “Gerakan ini perlu diterajui oleh individu yang relevan dan dekat dengan genre ini. Orang pertama yang terlintas difikiran saya adalah Alif yang sememangnya layak untuk menggalas tanggungjawab ini berdasarkan pengalaman serta kualiti kerjanya sebelum ini.

“Alif bukan sahaja mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam kerja-kerja terbitan untuk genre begini. Malah, Alif mempunyai keupayaan memahami citarasa muzik generasi kini dan naskhah karyanya mempunyai nilai estetika tersendiri yang boleh dinikmati pasaran semasa”.
“Black Hat Cat tercetus kerana kami mahu menolak sempadan kreativiti dalam industri muzik tempatan dan luar negara dengan menghasilkan karya menggunakan pendekatan yang berbeza, idea segar dan mempunyai nilai estetika tersendiri. – Alif
Lo-fi Jazz & R&B saya kira satu cabang muzik yang harus di explore lebih lagi label ini dalam mengangkat bakat-bakat R&B Jazz khususnya bagi mendapat tempat serupa pasaran Pop, Rock & Hip-Hop yang menjadi fokus penggemar muzik tempatan hari ini.
Dan saya kira selepas tenggelamnya persada Positive Tone yang bergerak cemerlang dua dekad lalu, semoga Black Hat Cat dapat memberi justifikasi bagi bakat-bakat muda yang mahu melakukan sesuatu yang berbeza untuk pasaran muzik tempatan.