
Ketika saya memutuskan untuk menulis tentang muzik, Saniboey Mohd Ismail menjadi individu terpenting mengapa ghairah menulis kritikan muzik itu wujud. Saniboey lantang dan bebas dalam penulisannya, penanya tajam biar ramai yang menganggap itu satu hentaman yang mahu mematikan pemuzik, penyanyi dan dunia showbiz tempatan – saya melihat sebaliknya. Ia sebetulnya satu cabaran untuk semua pemain industri melangkah lebih berani dalam berkarya.
“AJL Sucks!” , “Lagu ini sebenarnya kalau bagi orang buta dengar pun boleh tahu Pak Ngah yang buat.” – melekatnya sehingga hari ini di kepala saya saat dia mengkritik keras AJL ke-17 yang mengangkat Nirmala pemenang kategori Lagu Irama Malaysia Terbaik (Sependapat dengan saya, Hala Timur sepatutnya diangkat sebagai juara kategori)
Setelah itu, saya tahu saya mahu menjadi Saniboey Mohd Ismail biarpun ketika memulakan Muzik Kita (Blog asal accordingtohafizanmohd) pada tahun 2009 dia sudah memasuki dunia penyiaran – apa yang Saniboey tinggalkan pada saya adalah satu inspirasi dan keterujaan untuk menulis tentang muzik dan dunia showbiz secara amnya.
Bacaan di Rolling Stone Indonesia dan R.O.T.T.W (sebelum Pitchfork dan NME) juga banyak membuka pemikiran dan melihat muzik itu sebagai satu tanpa batas jaluran. Mungkin saya satu daripada ribuan yang ada berada di kategori yang disebut Miji Cromok sebagai crossover genre market (Ketika menemubualnya di EMI bagi projek universiti dulu) – jadi, apa pun jaluran muzik yang ada saya raikan, saya dengarkan dengan terbuka.
Maka dengan itu, Muzik Kita saya tubuhkan untuk meneruskan kelangsungan minat pada muzik dan penulisan kerana ketika ia bersiar sudah semakin tiada sebetulnya penulis yang mahu menulis tentang muzik tapi tulis tentang aib artis itu ramai.

Berbeza hari ini, kebangkitan penulis muda yang mahu menjadikan kewartawanan muzik ini sebagai sesuatu yang dipandang serius itu benar-benar ada. Maka dengan itu lima bersahabat, Ku Syafiq (Yang saya kenal sejak dia di Utusan), Zim Ahmadi (Daily Seni, Gedegang!) Al Kamil Kamarludin (Junklist), Farhira Farudin (noisyheadspacemag) dan Zahfrin Zulkifli (Gedegang!) melakukan sesuatu yang kolektif sebagai permulaan memasyarakatkan music journalism sebagai satu wadah dan budaya.
Menerusi buku yang diberi nama Algorifobik: Alternatif Resah Algoritma lima idea menyatu dan bersuara dalam penulisan yang kritis tentang muzik, pemuzik dan peranan kita sebagai pendengar dalam menerajui dengan terbuka seni dalam penulisan berbentuk kritikan dan saran. Ada cerita pengalaman bersulam pengetahuan baru yang saya pelajari daripada kelima-lima mereka.
“With all the despondency of a failing music ecosystem, Lumut came into my life…”
Zim Ahmadi
Zim Ahmadi meritmakan penulisan daripada pengalaman, kerisauan dan kekaburan masa depannya dalam esei “Maybe the Scene is the Friends We Made Along the Way”. Berhujah panjang dan melekakan, saya bersahabat dengan penulis ini dengan ceritanya yang mungkin tidak sama tetapi berakar pada paksi serupa. Saya mungkin bertuah, bidang editorial membuka ruang untuk saya terus menulis dan bagi Zim yang melalui satu transisi naik turun melihat penerbitan indie ber’sayonara’ satu per satu itu memeritkan.
The Wknd yang diusahakan Fikri Fadzil dan Daily Seni yang buram membuat Zim sedikit jatuh hampa namun seperti di eseinya, Lumut memberi nyawa untuk dia tahu jika harapan masih ada untuk dia meneruskan keghairahan sebagai jurnalis muzik.
Dalam esei Zhafirin saya menumukan satu alunan seperti mengalirnya air dalam bahasa tersusun dan melekakan. Membaca “An-Nafs” membuat saya terdetik betapa besarnya kosa kata yang dikuasai Zhafirin. Dalam esei yang mengupas satu daripada lagu Inspired The Bee ini saya menemukan sesuatu yang jarang saya ‘consume’. Namun ia menjerat pendengaran saya melayani keseluruhan EP ‘Lowlife’ dengan satu keterbukaan yang membebaskan saya seketika daripada radar Pop harian.
Di sini saya kira peranan penulisan muzik itu sesuatu yang penting. Ia menghubungkan pembaca pada citarasa dan pemikiran penulis yang memperkenalkan saya untuk mendengarkan lagu-lagu Inspire The Bee. Hal serupa juga saya kutip dalam kupasan Zim menerusi esei Hyperpop yang ditulis di buku ini. Sejujurnya saya tidak tahu jika EDM hari ini disebut sebagai Hyperpop oleh generasi kini.
“Bersama Monoloque ia kedengaran terlalu dipaksa-paksa, semacam mengadun minyak dengan air.”
Alkamil Kamarludin
Saat diberi draft awal buku ini oleh Ku Syafiq, kata-kata Kamil membuat saya tersenyum dan berkata sendiri, “He’s not wrong.” Esei Kamil menjulang Sang Rawi – sebuah kugiran yang saya discover ketika PKP menjadi topik yang cukup dekat dengan saya sebagai pembaca. Ia berenang-renang di kiri dan kanan kepala ini dengan setuju tanpa prejudis.
Sang Rawi bak kata Kamil adalah pengemudi. Mereka memberi satu nuansa yang cukup keasliannya dalam memanipulasi muzik nusantara dan tradisional untuk pendengar muda dan moden. “Saya sarankan anda berhenti membaca sekarang dan tonton kesemua live session mereka di YouTube.” Obsesi Kamil yang begitu relatebale dengan apa yang saya percaya tentang kugiran ini.
Farhira Farudin melewati kebangkitan muzik galau dan healing music di era pandemik sehingga membuka seluasnya pintu untuk kugiran seberang Fourtwnty benar-benar diraikan di sini. “Sadness sells.” dalam hujahan panjang Farhira merungkai stigma kesedihan dalam persembahan live sambil menyanyi itu barangkali membawa anda kembali menyangkut pada kisah silam atau jika beruntung mampu melupakan kisah silam.
Hal ini sebetulnya membuat saya berfikir jika anda anak band atau anda sitizoners sekalipun – yang mendindingi kita daripada untuk berperasaan itu sebetulnya tiada. Muzik sekali lagi saya lihat sebagai satu tanpa batas pemisah kerana akhirnya ia berbalik pada rasa – sedih atau bahagia. Itu sahaja yang memanusiakan kita sebenarnya.
Kupasan Ku Syafiq di babak akhir buku ini melihat ekosistem muzik indie dan capaiannya serta peranan media. Ku mempersoalkan mengapa jaluran alternatif sukar diterima pendengar. Dan dia memberi jawapan yang kira cerdas – “Realitinya kita kekurangan pendengar yang berdikari dan mandiri. Yang mampu mentadbir cita rasa dan ada kesanggupan meneroka kepelbagaian muzik.”
Kerisauan Ku dalam dunia algoritma dengan generasi spoon feed ini menjadikan kita sebagai individu yang memiliki kebergantungan pada satu sistem dunia digital yang disebut Ku juga “Sampai nak makan apa pun kena tunggu review pempengaruh?” Itu baru soal makan, belum persoalan sesubjektif muzik. Kita menjadi individu yang menanti-nanti lagu apa lagi yang bakal viral setelah yang satu ini.
Tiada lagi keinginan meneroka sendiri dan memberi satu dedikasi juga apresiasi kendiri. Muzik hari ini menjadi sesuatu yang bermusim tiada lagi istilah timeless. Jadi jangan persoalkan mengapa radio masih mengulang putar Isabella dan data penstriman kugiran seperti Iklim masih antara yang tertinggi jumlah mainnya.
Algorifobik: Alternatif Resah Algoritma sebuah naskhah yang memiliki nilai fikir yang tinggi. Sudut pandangnya tidak hanya berlegar idea personal tetapi masih ada pengisian yang membawa kepada satu pemikiran baru. Saya senang melihat penulis-penulis muda seperti Ku, Zim, Kamil, Zhafirin dan Farhira mengemudi sebuah lagi cabang penulisan muzik sebagai satu representasi yang baik dan ada ilmu di dalamnya.
Ini adalah satu permulaan yang baik untuk sebuah kelangsungan penulisan muzik yang berpanjangan. Dan semoga generasi kini akan menjadikan kelima-lima penulis ini sebagai rujukan untuk percaya ruang untuk bersuara dalam penulisan itu sentiasa ada dan sentiasa bertumbuh biar caranya berbeza. Lihatlah kepentingan mereka seperti saya melihat Saniboey Mohd Ismail dahulu.
Dan untuk Kamil kembalilah mengemudi Junklist sebab Muzik Kita pun bukan hari-hari orang baca beb! *wink