
17 Disember 2017, Tarikh keramat kembalinya gema suara biduanita negara, Wan Aishah Wan Ariffin dinobat untuk kesekian kalinya sebagai juara jiwa-jiwa yang sering merindu dan tak pernah jemu dengan alunan malar segarnya.
Gegar Vaganza akan menjadi salah satu pentas yang paling akan semua penggemarnya ingat dan bangga akan kejayaan bintang ini dalam meneruskan segala kudrat yang ada untuk dia kembali memberi sepenuh jiwa akan apa yang dia miliki namun tersimpan atas batas hidup dan takdir yang tertulis dalam ranjau cerita yang cukup menarik kisahnya.
Aishah nyata satu dalam seribu. Minatnya dalam bidang nyanyian tidak terbatas oleh apa pun halangan dan rintangan. Jika dia mahu dia tahu apa yang patut dilakukan.
Dan kerana itu, lahirlah gadis dalam lipatan sejarah muzik melayu bernama NATASHA AMINAH terjun ke bidang seni suara dalam singgahan sementara album Malek Ridzuan berjudul Jilid 5 – Gadis Berlesung Pipit (1984). Menerusi duet “Mawar Putih Mawar Merah” bersama Malek, impian Natasha Aminah untuk bergelar penyanyi terkota.
Namun tidak sempat menyinggah ke studio lagi selepas itu untuk rakaman solo, nama Natashah Aminah terus dimatikan tanpa sempat kita mengenal siapa gerangan anak gadis yang cukup istimewa ini.

MEMATIKAN “NATASHA AMINAH” UNTUK KEGEMILANGAN WAN AISHAH
Ternyata menjadi penyanyi di era 80-an dan sebelumnya tidak semudah anak-anak muda hari ini. Restu menjadi syarat pertama kerana tanpa restu maka terkuburlah impian dan ketika era tersebut sedia kita maklum, menjadi seorang penyanyi bukanlah pilihan yang tepat untuk seseorang itu menghabiskan sisa hidup mereka. You need a scroll, an education!
Dan atas kekangan-kekangan tersebut maka wujudlah Natasha Aminah bagi mengaburi restu yang masih jauh sehingga terpaksa mengalah kembali menjadi Wan Aishah untuk terbang ke New Zealand demi segenggam ijazah dalam bidang Sains Politik, Universiti Auckland. Namun atas beberapa faktor Aishah pulang dengan skrol Ijazah Pendidikan.
Yang dimatikan ketika itu hanya Natasha Aminah, namun Wan Aishah tidak pernah sedetik memadam minat dan kebolehannya dalam bidang nyanyian.
Program “Telequest” menjadikan takdir hidup Wan Aishah lebih menarik lagi sebetulnya. Biar hanya mendapat tempat ketiga, dia menarik minat Paul Moss, Malcolm Smith, Dave Larsen dan Glenn Peters yang ketika itu merupakan ahli kugiran “Soul On Ice” untuk menyunting Aishah sebagai vokalis.
Soul on Ice adalah sebuah kugiran Synth Pop menyatukan muzik rock yang cukup heboh di era 80-an. Mereka sempat merakam album berjudul “Summer Love” yang diedarkan pada tahun 1987 dengan vokalis bernama Liz Diamond. Liz kemudiannya meninggalkan Soul on Ice dan membuka peluang besar Aishah untuk menjadi pop sensation ketika itu.

LINE-UP “THE FAN CLUB” SELEPAS FASA “SOUL ON ICE”
Nama “Soul on Ice” selepas itu diganti dengan “The Fan Club” dengan imej yang lebih solid, muzik pop dance yang lebih segar dan mendominasi carta muzik tidak saja di New Zealand tetapi sempat menyinggah carta Top 100 Billboard menerusi single “Dont Let Me Fall Alone”.
Bersama Fan Club, Aishah sempat merakam dua album penuh yang umum ketahui – Sensation (1988) dan Feel The Beat (1989) dengan hit seperti Sensation, Call Me, Paradise dan Never Give Up On You. Menonton kembali kelincahan Aishah dalam muzak video seperti “Sensation” di YouTube buat saya fikir she’s definitely the IT Girl that people really looking at!
KEMBARA SOLO, FUTURE POP STAR & BINTANG PALING POPULAR
Pulangnya Aishah ke Malaysia pada tahun 1990 berbekal album solo perdana memberi lebih tuah buatnya. Siapa saja boleh tahu jika transisi ini menguntungkan atau sebaliknya, namun nyata rezeki berpihak pada Aishah dengan penerimaan luar biasa.
Single “Janji Manismu” karya Adam Ahmad dan “Camar Yang Pulang” (Adnan Abu Hassan) membuka lebih peluang untuk dia dikenali dan digilai.
Populariti dua single tersebut tidak hanya di tanah kelahirannya Malaysia malah nama Aishah menjadi sebutan di Indonesia. Kehebatan “Janji Manismu” dan “Camar Yang Pulang” tidak terhenti sekadar menjadi lagu yang digilai satu nusantara.
Dua lagu tersebut malah dirakam ulang oleh penyanyi seberang. “Janji Manismu” saja sudah dirakam oleh tiga penyanyi dengan rendisi berbeza – Tommy J. Pisa, Terry dan Dea Mirela. Manakala Ruth Sahanaya merakam semula lagu “Camar Yang Pulang” pada tahun 2006 menerusi album “Jiwaku”.
Pada tahun di mana “Janji Manismu” meledak hangat, dia turut diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABP dengan jumlah undian sebanyak 124,527 undi mengatasi saingan lainnya. Aishah menjadi penyanyi solo wanita kedua yang mendapat gelaran tersebut selepas Ramlah Ram pada tahun 1988.
Dan kehebatannya sebagai penyanyi tidak hanya terikat idea popular, Aishah dengan hit “Janji Manismu” ke pentas Juara Lagu 1990 sebagai Juara tahun kelima penganjuran.
Melengkapkan lagi portfolio seni suaranya pada tahun yang sama Aishah pulang bangga dengan dua lagi trofi iaitu Penghibur TV Terbaik dan Penyanyi Radio Solo Pilihan, Anugerah Seri Angkasa RTM 1989/90.
Kehebatan Aishah diteruskan lagi dengan siri diskografi Pop yang mendapat penerimaan luar biasa. Aishah II (1991) menyusul dengan feel melankolik big ballad dalam lagu hebat seperti “Kemaafan Dendam Yang Terindah” (Ross Ariffin), “Aku & Diriku” (Adnan Abu Hassan) dan “Kasih Kita” (Adnan Abu Hassan). Dan sekali lagi album ini berjaya menembusi pasaran Indonesia dengan single utama Kasih Kita.

Aishah Discography 1990 – 2010
PALITAN KONTROVERSI, DIPULAU WARTAWAN & ANOTHER VICTORY
Selepas penerbitan album Aishah III – Asia…Sedunia pada tahun 1993, nama Aishah terpalit kontroversi pabila ada yang menghidu akan majlis perkahwinannya bersama jejaka asal New Zealand dirahsiakan.
Perkhabaran begitu tentu saja akan mengundang cuak wartawan-wartawan di Malaysia yang akhirnya memutuskan untuk meminggirkan nama Aishah untuk sebarang publisiti surat khabar dan majalah. Tambahan pula ketika itu muncul nama baru seperti Ning Baizura yang mencuri tumpuan dengan keunikan suaranya.
Namun Aishah was too good to be ignored! Kelahiran album berjudul “Klasik” sebuah naskhah saduran lagu-lagu Melayu klasik membuka kembali mata-mata yang meminggirkan Aishah dengan kejayaan luar biasa album tersebut di pesta Anugerah Industri Muzik ke-2. Dia pulang bangga dengan trofi Vokal Wanita Terbaik dan album Klasik masih lagi mendapat jualan cukup tinggi.
Kejayaan tidak terhenti di situ, Aishah terus tampil yakin dengan album “Wajah” yang menampilkan hits “Cinta Beralih Arah” , “Wajah” dan “Panggilan Rindu” memberinya penganugerahan Album Pop Terbaik di pesta Anugerah Industri Muzik 1995. Menambah kenangan-kenangan yang manis buatnya Aishah sekali lagi di pentas Juara Lagu ke-10 sebagai juara keseluruhan menerusi lagu Cinta Beralih Arah.
Siapa saja boleh lupa dengan short hair, blue hoodie lace dress dan drama pentas persembahan tersebut?
Momen-momen begini saya kira waktu emas dalam karier Aishah dalam bidang muzik tempatan. Nama Aishah sudah menjadi A-Lister lapangan muzik Malaysia yang sentiasa akan mengisi frekuensi radio dan tentu saja senarai lima teratas Anugerah Industri Muzik saban tahun. Namun resamnya mana-mana sensasi Pop pasti akan ada naik turunnya.
“TIADA DUKA UNTUK APA” DIPANDANG SEPI & FAKTOR ‘SITI’ PUNCA KEJATUHAN AISHAH?
Kredibilitinya dalam bidang ini tidak hanya sekadar menyanyi. Menerusi album “Tiada Duka Untuk Apa” Aishah bertindak sebagai produser album dan beberapa lagu dalam album ini diciptanya sendiri seperti hit “Antara Cinta & Kasih”. Album ini secara personal saya letakkan sebagai album terbaik Aishah selepas album Asia…Sedunia (1993) namun mungkin atas faktor ‘siti’ nama Aishah semakin tenggelam.
“Tiada Duka Untuk Apa” membawa Aishah sekali lagi ke New Zealand untuk bekerja dengan produser muzik bernama Stephen Small yang mengepalai komposisi dalam kebanyakan trak album ini. Lagu seperti Tiada Duka, Ombak, Semalamalaman dan Orientalism yang membawa ilham fusion Pop – gabungan muzik barat dan asia yang disatukan dengan cukup moden dan tersendiri.
Namun eksperimentasi Aishah menerusi album ini sedikit gagal menarik minat pendengar biarpun secara am balada seperti Hari-Hari Berlalu dan Untuk Apa cukup cocok dengan selera pendengar tempatan. Memetik kata-kata Aishah dalam temu bual Utusan Malaysia seperti berikut tentang album ini.

kekecewaan aishah terhadap penerimaan album “tiada duka…untuk apa”
Kekecewaan itu makin parah pabila ada antara karyawan menganggap Aishah tidak lagi punya nilai ekstra – tiada kontroversi, cerita peribadi yang kurang menarik perhatian umum. Tambah Aishah dalam artikel serupa
”Mereka kata, saya tak ada cerita skandal, asyik cerita baik-baik seperti cakap pasal universiti dan New Zealand, sebab itu album tidak boleh jual. Apa kena mengena muzik dengan cerita peribadi saya?
Dan kekecewaan itu membawa Aishah kembali ke New Zealand memadu kasih dengan teman lelaki barunya di sana. Tambah Aishah dalam artikel berjudul “Aishah Mahu Nikmati Kehidupan Biasa” –
“Di New Zealand, saya adalah pelajar dan bukan lagi penyanyi. Walaupun ramai lagi yang mengenali saya sebagai Aishah & The Fan Club, tapi mentaliti dan perspektif mereka ke atas penyanyi adalah berbeza.”
Album “Tiada Duka” bukan sahaja sepi di frekuensi radio tempatan malah kelibatnya dalam pesta muzik seperti AIM dan Juara Lagu juga tidak kelihatan. Entah di mana silapnya saya tidak pasti mengapa album ini begitu underrated sekali. Barangkali rezeki tidak memihak padanya kali ini.

TERNOKHTAH SEKETIKA RIUH MERDU SANG PENYANYI
Kelibat Aishah selepas itu semakin buram, kehadiran album Tiada Akhirnya yang diterbitkan Mac Chew & Jenny Chin sekali lagi bagai tidak memberi tuah buatnya dalam meneruskan kemilau puncak gemilang kerjayanya sekali pun penghasilan album tersebut not bad at all. A very strong Adult Contemporary Pop especially lagu rakaman semula asal Rahim Maarof berjudul “Rela” dan balada Adnan Abu Hassan dalam “Tangisan Dalam Senyuman” yang masih merdu nyanyiannya.
Dan dengan itu, album yang diedarkan tahun 1998 itu menutup seketika kalam cerita Pop sensation ini.
Nama Aishah semakin kabur dan menghilang terutama sekali di paparan cerita surat khabar dan majalah. Namun lagu-lagunya seperti Janji Manismu dan Camar Yang Pulang masih berputar tanpa henti di kebanyakan stesen radio sekali gus menjadikan dua naskhah tersebut sebagai naskhah malar segar sepanjang zaman.
Walau tanpa publisiti Aishah masih merakam lagu bagi beberpa projek berbeza antaranya runut bunyi animasi “Putih” bagi lagu berjudul “Kasih Putih” dan “Senandung Sayang” bersama M.Nasir pada tahun 2001. Dan sebelum itu bersama EMI juga sempat mengeluarkan sebuah album hari raya berjudul “Pulanglah Perantau” dengan lagu hit sepanjang zaman “Pulanglah”. Namun projek-projek ini tidaklah begitu memberi impak besar buat kariernya.
Populariti mungkin bukan lagi apa yang dia cari dalam hidup. Selepas fasa “Tiada Duka” khususnya Aishah lebih selesa menjalani kehidupan seadanya tanpa mahu lagi berkompromi dengan perihal yang tidak membahagiakan dirinya. Sama seperti wanita lain, dia hanya mahu bahagia bersama keluarga dan jalani hidup seadanya.
Dek kerana perkara-perkara itu membuatkan namanya semakin sepi daripada hebohan masyarakat. Selepas album “Tiada Akhirnya” karier muziknya seakan ternokhtah seketika.

DARI PENTAS “JUARA LAGU” KE PENTAS “POLITIK”
Kisah hidup Aishah jadi lebih menarik saya kira selepas dia memutuskan untuk melibatkan diri dalam bidang politik pula. Menerusi satu artikel Harakah Online yang saya temui memaparkan temubual Aishah bersama wartawan Saidah Hairan yang bertanyakan beberapa soalan yang saya kira penting tapi jarang dapat dibaca dalam mana-mana akhbar komersil.
Dalam artikel bertarikh 14 Februari 2012 itu menyatakan Aishah mula mendekatkan diri dalam bidang dakwa h serta politik pada tahun 2011. Antara alasan utamanya adalah atas faktor hidup sebagai ibu tunggal yang membawa perspektif berbeza dirinya sebagai manusia yang melihat situasi hidup di fasa yang berbeza.
Awalnya saya kira Aishah yang baru ini sudah berubah 360 darjah daripada apa yang kita kenal. Namun saya silap. Dalam ceramah-ceramah yang dia berikan (masib boleh ditonton di YouTube) Aishah masih menegakkan hak-hak yang ada pada artis dalam masyarakat. Pendekatan seni dan agama menjadi isi ceramahnya – bagaimana dua hal ini mampu bergerak seiring tanpa melanggar atau menyentuh sensitiviti agama. Saya paling tertarik dengan ceramah “Himpunan Hijau ke Putrajaya” dalam nada cukup sebak di hujung ucapan dia memberitahu…
Saya memohon sebagai artis, jangan pandang kami dengan sebelah mata… “
She’s a fighter. Menghabiskan masa menonton hampir semua ceramahnya di YouTube circa 2012 saya kira jelas tujuan Aishah memasuki dunia politik adalah kerana sensitiviti yang ada padanya dalam mengangkat martabat wanita dan menyamaratakan hak artis dalam masyarakat. Tonton video “Aishah – Saya Jumpa Datuk Seri Bukan Nak Minta Lembu (Ceramah 4 April 2012)” dan anda mungkin akan faham apa yang saya maksudkan.

Aishah banyak bercerita pengalamannya sebagai ibu tunggal (ketika itu) khususnya akan betapa susahnya mendapat bantuan nasihat daripada kerajaan sebelum ini untuk mempertahankan hak penjagaan anak hasil perkahwinan bersama lelaki inggeris Muhammad Abdullah.
Dan dalam artikel Harakah Online juga Aishah menyatakan mengapa dia memilih PAS adalah kerana dia melihat parti tersebut sebagai parti yang memenangkan bangsa.
“Perjuangan PAS terasnya Islam itu tidak pernah berganjak. Dalam hidup ini apakah kita hanya mahu mencari ketuanan Melayu. Bila kita sudah lahir Melayu apa sahaja yang kita buat, bila mati tetap Melayu. Tapi kita lahir sebagai orang Islam kalau perjalanan hidup kita tidak betul, mati kita belum tentu lagi Islam.”
Kelibatnya dalam bidang politik tentu saja mengundang sembang-sembang yang mempertikaikan apa yang dia lakukan ini betul atau sebaliknya. Namun Aishah pasti tahu apa yang terbaik buatnya.
Saya kira ini satu langkah cukup berani seorang wanita untuk menjadi wakil suara wanita lain. Sepatutnya kisah ini mampu menjadi inspirasi namun dek kerana ketika itu dia berada di pihak pembangkang kisah-kisah ini kita tidak lihat dan pandang serius. Hanya cuma sekarang saya faham kenapa Aishah berada di pentas politik setelah menonton ceramah-ceramahnya.
Maka pada PRU 2013 berjuanglah Aishah sebagai ahli politik untuk kerusi parlimen Jempol. Atas kemahuan untuk suaranya didengar agar niat untuk melakukan perkara yang dirasakan betul itu disokong. Biar tewas, setidaknya dia benar-benar berani untuk mencuba dan telah melakukannya. Setelah itu, kisahnya, perjuangannya tidak lagi kita dengar sehinggalah suara merdunya muncul di sidang media Gegar Vaganza 2017.

Aishah ketika di pentas GV4
Sebenarnya saya rindu nak menyanyi. Nak menyanyi untuk peminat…
Kalimat yang disebut ketika di PC Gegar Vaganza musim keempat itu sudah cukup buat kita semua kembali sedia menerima Betari Seni yang satu ini dengan hati yang lapang gembira untuk kembali melihat dia aktif menyanyi.
Dan saban minggu di pentas GV Aishah mengubat rindu kita semua yang mahu melihat dia kembali mengalun merdu suara yang dikurnia buatnya. Dari satu lagu ke satu lagu, minggu ke minggu kita tidak melihat Aishah di pentas untuk bertanding tetapi lebih pada menghiburkan peminat yang sentiasa merinduinya.
Sehingga di puncak pentas final saat di mendendangkan “All By Myself” yang bagai tiada cabaran buatnya, menganugerahkan Aishah satu lagi kejayaan sebagai pemenang musim keempat Gegar Vaganza.
Bahagianya melihat bintang ini kembali di puncak bukan kepalang dan pabila perkhabaran Hazami akan mencipta lagu sebagai single terbaru membuat kegembiraan saya berganda lagi.
Maka dengan kerja studio bersama produser Helen Yap, lagu berjudul “Malar” menjadi buah tangan terbarunya buat semua. Masih terasa kuat semangat Pop Aishah dalam Malar. Melodi Hazami cukup merdu mendayu menyambung legasi malar segar Janji Manismu, Cinta Beralih Arah, Kemaafan Dendam Terindah dan Merenung Bulan.

ANOTHER VICTORY, ANOTHER CONTROVERSY
Kisah semakin menarik, seperti saya tulis awal tadi – she’s a fighter! She will fight for her rights dan menjadi wakil suara-suara yang sebelum ini tidak pasti atau takut untuk menegakkan apa yang sepatutnya mereka tuntut.
Kemenangan di GV selain wang tunai, pemenang turut di beri hadiah saguhati oleh penaja berupa barang kemas yang di claim memiliki nilai rm80k namun hal mengejutkan terjadi pabila Aishah cuba untuk reset kembali hadiah yang diterima menjadi small pieces yang bersesuaian dengannya.
Hadiah yang dikatakan memiliki nilai puluhan ribu itu rupanya bukanlah memiliki nilai serupa. Beberapa pakar barang kemas ditemui namun semuanya memberikan jawapan yang sama – Palsu.
Kiranya isu ini semua sudah sedia maklum dan faham struktur ceritanya. Apa yang ingin saya tekankan adalah spirit Aishah dalam mengegakkan apa yang dia rasakan betul tanpa perlu ada sedikit pun rasa takut jika popularitinya terjejas kembali.
Malah kali ini lebih ramai di belakangnya menyokong penuh dalam menyangkal statement bahawa Aishah artis sendu!
Nope, dia tidak pernah sendu. Lagu-lagunya sentiasa berkumandang merdu di stesen radio seluruh negara. Sehingga hari ini masih ada yang merakam ulang lagunya dan menjadi pilihan setiap kali adanya pertandingan nyanyian.
Bertuah sebetulnya kita memiliki penghibur seperti ini. Tekad dan citanya serta sayang dan mahunya dia untuk terus menyanyi tak pernah padam. Dari zaman jaket sekuin, skrit pendek dan pantyhose sehingga zaman jubah longgar bertudung labuh, Aishah masih utuh sebagai permata seni suara yang sentiasa mahu kita dengar dan nantikan.
Cinta peminat buatnya takkan Beralih Arah dalam Panggilan Rindu yang akan sentiasa Malar buat semua yang sentiasa mahu melihatnya, mendengarnya. Biar jalannya tidak selalu senang dan lapang namun tiada apa yang masih mampu menghalang untuk dia berdiri kuat seteguh karang.
ARTIKEL BERKAITAN