
Lagu: Ternoktah
Artis: Aisha Retno
Komposer / Lirik: Aisha Retno / Firdaus Rahmat / Hanis Rafi
Produser: Hanis Rafi / Omar K
Mau dikatakan apa lagi, Aisha Retno sudah sebaiknya membuktikan bakat bermuziknya itu selayaknya dihargai dan diraikan. Perjalanan muzik yang konsisten sejak awal bermuzik dengan percubaan menembus pasaran muzik nusantara juga dibuktikan dengan penerimaan cukup meluas.
Setelah penghasilan single duet bersama Aziz Harun awal tahun ini menerusi “Jarak”, Aisha merangka kembara bermuziknya dengan meneroka kembali jajaran muzik Balada yang sebati dengan jiwa pendengar tempatan.
Kembali bekarya untuk lagu baru dan lebih menarik kali ini Aisha membuah ilham bermuzik bersama singer songwriter meningkat naik, Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi bagi menghasilkan melodi “Ternoktah” yang menjadi single perdana di EP yang bakal beredar November nanti.
“Ternoktah” menjadi kelangsungan rilis Balada Aisha setelah “Pencarianku”, “Nukilanku” dan “Cinta Denganmu” yang perlahan mencuri perhatian pendengar. Momentumnya jika mahu diikutkan tidak selaju penyanyi Balada lain sebetulnya namun keberadaan Aisha sebagai penyanyi Balada itu masih dirasai.
Kraf muzik Aisha kali ini lebih menawan berbanding tiga Balada galau yang pernah diedarkan lebih awal. Secara personal saya paling gemarkan komposisi Aisha bersama Sharon Paul menerusi “Pencarianku” dan setelah melayani “Ternoktah” kedua dan tiga kalinya, saya kira ini Balada terbaik yang dihasilkan setakat ini.
Kemasan muzik lagu ini disusun dengan sangat baik. Transisi verse ke korusnya benar-benar memberikan ruang untuk Aisha bercerita dalam nyanyiannya tanpa terburu. Smooth dan cukup dalam yang sekali gus menembus perlahan perasaan pendengar.
Aisah saya pasti di saat masih lagi dalam fasa pencarian muzik yang bagaimana terbaik memberi definisi kariernya. Antara menakluk pasaran urban dengan rangkaian lagu inggerisnya dan pada masa yang sama mencuri perhatian pasaran muzik yang lebih mass menerusi Balada. Namun saya percaya ini proses yang harus dilaluinya sebelum benar-benar mampu mengikat pendengar pada tenaga dana kemampuannya.
“Ternoktah” sudah dihasilkan secukupnya dan sebaiknya untuk memenuhi kehendak juga selera pendengar semasa. Hanya menantikan magis dan momennya sahaja untuk diraikan sebesarnya.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN