
Lagu: Samudera
Artis: Aisha Retno
Komposer / Lirik: Aisha Retno / Glowrush / Shane Kennedy
Produser: Karazey / Glowrush / Aisha Retno
Gelora dalam pemikiran dan jiwa Aisha Retno sebagai pemuzik itu saya kira cukup meledak-ledak ideanya. Berbual bersamanya beberapa kali untuk podcast juga temu bual majalah membuat saya semakin memahami her current state of mind. Aisha satu daripada banyak bakat lain yang begitu memandang serius akan karier bermuziknya.
Hal-hal pembuktian di pentas sudah dia langsaikan, sama ada kita mahu memperakui atau menidakkan itu pilihan – antara suka atau tidak. Tetapi sebagai penyanyi baru Aisha sudah melepaskan segala hal kreatif yang harus dia lakukan sebagai bukti dia selayaknya diraikan.
“Sutera” memberi ruang untuknya mencuri perhatian pendengar muzik tempatan setelah kejayaan di AJL dan “W.H.U.T” sepastinya melebarkan namanya sebagai bakat baru nusantara yang semakin diperhati dan mungkin digeruni juga sehingga ke tanah seberang pengaruhnya.
Laju menyusun langkah bermuzik, Aisha mentafsirkan idea-idea segarnya sebagai penyanyi, komposer juga pemuzik dengan menawarkan kita sebagai pendengar dengan pengalaman baru (berbeza) menikmati muziknya.
Keresahan saya jika dia mahu terikat ilham Balada Melayu terlerai lega setelah mengetahui “Samudera” menjadi pertaruhan terkininya. EDM yang awal diterokai bersama MFMF. diteruskan ilhamnya bersama Glowrush dan Shane Kennedy menerusi persembahan terbarunya ini.
Saya melihat “Samudera” sebagai satu wakilan suara anak muzik tempatan. Lagu ini adalah tentang idea, pemikiran dan keterujaan. Kesemua mereka yang terlibat dengan penghasilan lagu ini datang dengan satu konsep idea yang mahu diperdengarkan. Dan tugas kita sebagai pendengar adalah untuk siap dengan idea baru ini yang mungkin kedengaran canggung ketika pertama kali mendengarkannya. Tetapi jika ditelusuri sedalamnya pemikiran anak-anak muda ini kita mampu menemukan satu harapan dan gerakan baru Pop tempatan.
“Samudera” dibuka dengan ilham muzik yang banyak dalam persembahan Mak Yong dan Wayang Kulit sebelum beat EDM melatari keseluruhan lagu ini. Bahagian pre-chorus lagu ini is a killer “Janganlah jangan kau hindariku // Hatiku juga ada lembutnya.” sebelum korusnya semakin merasuk. Momentum muzik EDM nya semakin dirasai di tengah lagu sehingga kehujungnya.
Aisha menerusi lagu ini turut memasukkan elemen dikir barat yang secukupnya dan tidak menyeluruh. Hal ini bagus bagi saya untuk memastikan tidak terlalu banyak elemen dalam satu lagu digabungkan. Sehingga ke hujung lagu, memomentum “Samudera” semakin keras menggila.
Saya harus memuji instrumentasi yang digabungkan di lagu ini. Pertembungan sound tradisional dan moden EDM menyatu sebaiknya menjadikan ia satu eksperimentasi muzik yang begitu mengujakan. Sound rebab di awal lagu dengan gendangnya begitu menghantui.
Usai mendengarkan lagu ini beberapa kali membuatkan saya berfikir Aisha adalah bakat baru terbaik yang kita ada setakat ini. Dia berani untuk keluar daripada ilham biasa dan mencabar dirinya menghasilkan sesuatu yang sebesar ini. Kalau ada yang masih skeptikal dengan bakatnya dan menolak lagu ini sebagai naskhah yang bagus, i’m just gonna say you are old and close minded.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN