Setelah vakum lebih lima tahun dalam memberi penganugerahan buat pengamal muzik tempatan, Anugerah Industri muzik yang dianjurkan Recording Industry Association (RIM) Malaysia bakal kembali dipentaskan dalam senarai pendek yang diumumkan 1 September lalu.
Kategori utama seperti Album Terbaik, Artis Baru Terbaik, Vokal Terbaik dan Lagu Terbaik bagi setiap kategori pasti dinantikan senarai pendeknya yang datang bersaing dalam ribuan lagu-lagu yang telah terhasil sejak Januari 2021 sehingga Jun 2022 akan ditentukan sebagai yang terbaik.
Melihatkan syarat yang tertulis dalam setiap pencalonan melumpuhkan harapan untuk melihat beberapa nama harapan industri muzik tempatan untuk sama bersaing dalam pencalonan 5 teratas. Hal ini paling jelas menerusi kategori Artis Baru Terbaik yang melepaskan peluang the new future Pop seperti Aisha Retno, YonnyBoii, Ismail Izzani, Lunadira dan Firdaus Rahmat untuk mendapat nominasi.
Dan nama-nama asing yang diangkat sebagai senarai lima teratas ini juga masihkan belum tahu mampu menyumbang apa pada masa depan muzik tempatan. Kredibiliti belum terbukti, potensi masih kabur untuk diduga kerana terlalu hijau. Maka dengan itu saya kira kategori ini jelas milik Vanessa Reynauld.
Empat nama lain yang tercalon itu saya kira sekadar mengisi kuota yang cukup mengikut syarat yang disediakan penganjur. Vanessa punya potensi besar untuk berkembang sebagai pelapis muzik tempatan. Selain kredibiliti berpentas juga vokal, single “Buat Ku Sempurna” saya sifatkan sebagai satu antara Pop terbaik tahun ini dengan produksi muzik yang berkelas.
Kategori vokal pastinya menjadi perhatian dan yang paling dinanti. Melihat tiadanya “Sudah” persembahan vokal terbaik dalam studio saya sifatkan tahun ini daripada Nikki Palikat menimbulkan tanda tanya besar. Namun sekali lagi syarat penganjur membuatkan lagu ini terlepas daripada layak mendapat nominasi.
“Sudah” yang diterbitkan Irwan Simanjuntak di Indonesia melepaskan peluang Nikki dan Naim Daniel sebagai komposer mendapat peluang mendapat peluang dipertandingkan. Hal ini saya kira harus difikirkan sekali lagi oleh penganjur sedalamnya kerana bagi saya selagi karya itu diterbitkan di bawah label tempatan dengan menggunakan khidmat komposer tempatan ia layak untuk bergelar karya tempatan.
Syarat yang menyempitkan peluang lagu-lagu hebat bertanding ini menjadikan AIM kelihatan tidak terbuka dan hal yang sama saya kira terjadi pabila lagu Dolla “Bad” tidak mendapat nominasi. Persoalannya kalau begitu, mengapa karya “Orang Lain” yang menampilkan nama komposer dan penulis lirik Indonesia (A.Nayaka) dan YHB Sleepalot dari Singapura boleh mendapat nominasi? Apa bezanya.
Syarat pertandingan harus diperhalusi dengan lebih teliti dan harus ada keterbukaan untuk membenarkan karya tempatan yang diterbitkan di luar negara untuk sama bersaing.
Selagi ia dihasilkan oleh anak tempatan untuk label tempatan saya kira ia bukan satu masalah malah kita harus melihat visi itu sebagai satu usaha meninggikan standard Pop tempatan.
Kategori baru Lagu R&B / Hip-Hop Terbaik mencuri perhatian saya. Ia usaha yang bagus cuma menyatukan R&B dan Hip-Hop dalam satu kategori itu sesuatu yang sekali lagi menyekat peluang lagu-lagu lain untuk bersaing. Hip-Hop di Malaysia sahaja saya percaya sudah cukup besar dan siap untuk bergerak sendiri dalam satu pencalonan tanpa perlu disatukan dengan R&B.
Kategori Hip-Hop ini paling dekat jika mahu disatukan dalam kategori serupa adalah EDM tetapi kenapa disatukan dengan R&B? Sebagai contoh lagu VETO, CIAO dan Orang Lain yang bergerak dalam ilham serupa. Maka R&B boleh diasingkan dalam satu kategori sendiri dengan calon-calon yang lain.
Hal ini penting untuk membuka peluang yang luas, memberi persaingan yang lebih kuat dan memberi drive untuk pengkarya terus berkarya pada masa akan datang. R&B Malaysia punya potensi sangat besar jika benar-benar diraikan. Kategori R&B boleh disatukan dengan Urban Pop (Mid Tempo, Up Beat) menjadi Lagu R&B / Urban Pop Terbaik (Lo-fi / KRNB / Soul)
Maka lagu-lagu seperti “The Last Thing” (Ai.Z), “Kembalikan” (Ismail Izzani), “Janjiku” (Kaka), “Luka Hati (FT & Alan D), “Sayang Aku Tanya Apa Khabar” (Dayang & Zynakal), “W.H.U.T” (Aisha Retno), “Rindu” (MFMF. / Alex Ungku) boleh sama bersaing bagi kategori Lagu R&B Terbaik.
Satu lagi kategori yang amat menggangu saya adalah Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara, which is obviously semuanya yang tercalon adalah lagu berbahasa Indonesia.
Kategori yang sangat tidak rasional saya kira untuk diraikan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM). Pertama sekali terma Lagu Bahasa Melayu, can we use Bahasa Malaysia instead? Dan lagu-lagu yang patut diraikan adalah lagu-lagu yang berjaya memecah tembok pasaran tempatan ke luar negara.
Maka dapatlah kita lihat Yuna, NYK, Alextbh yang berjaya menembus pasaran luar diraikan bersama dalam anugerah tanah tumpah darah mereka. Ini di negara sendiri seperti disishkan dan tidak diraikan macam mana anak-anak muda ini boleh berbangga dengan dengan nasionaliti sendiri? Maka saya tidak hairan kalau ramai yang tidak mengenal NYK.
Lihat bagaimana Indonesia meraikan Niki, Rich Brian dan Stephanie Poetri yang berjaya di luar negara sangat dibanggakan masyarakatnya. Platform Anugerah Industri Muzik ini sepatutnya mengangkat anak-anak muda yang datang dengan visi berbeza dalam meninggikan standard muzik tempatan.
Kategori Lagu Pop Terbaik yang bercampur jaluran Balada dan Pop menjadikan finalis tahun ini kurang menarik. Balada boleh berdiri sendiri sebagai satu kategori khusus. Kategori Pop harus difokuskan pada lagu yang memiliki esen Pop semasa yang kekinian.
Kategori Album Terbaik tahun ini didominasi barisan anak-anak muda dalam pasaran Indie tempatan. Sekumpulan Orang Gila menerusi album “Second Voyage”, Ramayan (Di Persiaran Cakerawala) dan A.Limin (Sesudah Melakar Langit) bakal bersaing hebat dengan dua album Hip-Hop, “TUJU UNTUK KAMU” dan “YonnyBoii (Deluxe).
Anugerah Industri Muzik yang membeku lima tahun dianjurkan kali ini dengan pencalonan yang kurang berwarna saya kira. Seperti sekadar mahu melakukan acara tanpa visi jelas meninggikan standard muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi dan baik.
ARTIKEL BERKAITAN
#502021 Meraikan Kepelbagaian Dalam Bermuzik Menerusi 50 Rilis Terbaik Sepanjang Tahun