
Marcell dalam pasaran muzik perdana nusantara sudah menjadi satu nama yang sudah cukup kukuh. Rangkaian lagu popularnya dari Semusim, Takkan Terganti, Firasat, Mendendam dan Peri Cintaku sudah menjadi anthem karier muziknya.
Melewati portfolionya dalam bermuzik, Marcell tidak terhenti untuk digelar soloist Balada handalan. Masakan tidak jika dilihat barisan hitsnya semuanya sebuah pelayaran perasaan yang cukup membuat penggemarnya melayang.
Marcell di sini tidak ubah seperti Anuar Zain yang kita sentiasa mahu dan rindukan alunan merdunya yang sentiasa diraikan. Tahun 2013 dia muncul kali terkahir dengan album penuh rakaman semula lagu-lagu popular Indonesia berjudul “Platinum Playlist” sebagai penghargaan karyawan seberang.
Setelah itu Marcell berjalan perlahan dalam memasarkan lagu-lagu baru namun masih aktif dalam persembahan pentas dan beberapa single kolaborasi antaranya bersama Andien menerusi single “Sempurnalah Cinta” selain sibuk sebagai drummer kugiran progresif rocknya.
Tahun lalu, satu kejutan manis Marcell merakam semula hits kugiran Search berjudul Rozana dalam satu pengalaman muzik berbeza. Susunan muzik Jazz dikemaskan cukup menambat pendengaran dengan alunan merdu Marcell.
Setelah itu dia kembali merilis sebuah lagi lagu rakaman semula berjudul “Putri Remaja” nyanyian asal Jasni yang turut pernah dirakan Salleh Yakob di lewat 80-an. Putri Remaja sekali lagi tampil dengan penuh kekaguman menerusi susunan muzik big band.

Dengan hadirnya dua single tersebut maka Marcell mengumumkan sebuah projek dinamakan “This Is Not Jazz” yang turut menjadi judul album keenamnya sepanjang berkarier yang menampilkan 9 lagu rakaman semula lagu-lagu nusantara dan antarabangsa.
“Jangan Pernah Berubah” yang pernah menjadi single album perdananya antara yang hadir dalam susunan muzik yang cukup mengkhayalkan selain “Semusim” yang tampil lebih upbeat dan quirky langsung berbeza dengan arrangement asal Tohpati.
Irsa Destiwi yang bertindak sebagai Pengarah Muzik album ini memberi satu suntikan kematangan dalam karier muzik Marcell yang bunyinya lebih mahal dan eksklusif. Saat ini saya kira marcell tidak membikin album ini untuk pasaran massa tetapi lebih terarah mengembangkan kraf muziknya.
Cuma saya kira album ini akan lebih menarik jika Marcell menggubah semula semua lagu-lagu yang pernah dirakam berbanding memilih lagu penyanyi barat seperti The Weeknd dan Coldplay contohnya.
Bukan apa terlalu banyak sebenarnya lagu-lagu lamanya yang cukup bagus tapi kurang diketengahkan namun mampu diberi lebih warna dalam Jazz. Melati, Hidup, Temani Diriku, Semua Yang Terlambat dan Aku Rindu antaranya.
6/10