
Ketika Warner Music Malaysia memperkenalkan gadis kilang bernama Amelina dengan lenggok Melayu mendendang “Rindu” – nuansa asli Indonesia di pasaran muzik lokal, membuka satu peluang besar bakat-bakat dangdut Malaysia untuk mencuri tumpuan serupa.
Lagu ciptaan Darwis itu mencipta kembali fenomena dangdut yang lebih awal dibawakan oleh nama senior seperti Zaleha Hamid, M. Daud Kilau dan Ramlah Ram antaranya. Legasi “Selamat Jalan Romeo” (1994) yang cukup hangat ketika diedarkan berkesinambungan dengan kejayaan Amelina menerusi debut yang menampilkan hits “Rindu” dan “Yang Indah Yang Hangat”.
Kegilaan terhadap Amelina berterusan dengan album solo keduanya berjudul “Asyik” (yang saya sifatkan sebagai album terbaik Amelina) dengan dua nama besar lapangan muzik dangdut Iwan dan Ruslan Mamat.
Beberapa single menerusi album ini cukup berhasil mendapat perhatian dan meniti bibir pengikut muzik lokal sehingga hari ini seperti “Asyik”, “Di Dadaku Ada Kamu”, “Ah, Rindu Lagi” dan “Anak Dara”. Amelina di saat ini sudah dilihat sebagai individu penting yang menggerakkan fenomena baru muzik dangdut Malaysia.
Dan dengan kejayaan Amelina, mengilhamkan nama Mas Idayu yang lebih awal di lapangan muzik tempatan tetapi belum mempunyai momen yang kuat untuk dikenang dalam kariernya. Warner Music melabur untuk kraf dangdut Mas Idayu menerusi hit “Cintaku 100%” dan “Robek Hatiku”.
Kejayaan Mas Idayu walaubagaimanapun tidak sedikit membenamkan populariti Amelina. Dua kraf muzik dangdut mereka jika didengar memiliki signature yang tersendiri.
Warner banyak bereksperimen dalam muzik Mas Idayu dengan elemen muzik tradisi jaipong dalam “Senggol-Senggolan Cubit-Cubitan” dan kemudian eksperimentasi dangdut Mas Idayu diteruskan dengan memasukkan elemen Bhangra menerusi lagu “Bolehlah Boleh”.
Setelah itu maka bersusun nama lainnya yang mencuba untuk menyemarakkan pasaran muzik ini dengan barisan nama lain seperti Sheeda, Ifa Raziah, Haiza, Shikin, Asha Malik, Tushee, Leina Hangat dan grup wanita bernama Eva antaranya.

Setiap mereka saya kira berjaya jugalah mencipta nama biar sekejap – dengan rangkaian hit Dag Dig Dug, Angkat Kaki, Bulan Cinta dan lainnya. Kejayaan Mas Idayu sebagai Pop singer turns Dangdut sensation memberikan ilham serupa buat Tushee, Leina Hangat, Asha Malik dan Intan Sarafina juga yang pernah muncul sebagai penyanyi dangdut menerusi album Dang Dang Dut II.
Masih ingat album kolaborasi “Dang Dang Dut” 1996? Tampil dengan hit sepanjang zaman “Yang Tersayang” duet malar segar Iwan dan Amelina yang turut menampilkan Sheeda. Album rakaman semula beberapa hits dangdut terdahulu ini diberi sentuhan muzik lebih segar dan fun dinikmati.
DANGDUT HARI INI
Percubaan Amelina membuat comeback sekitar 2015 menerusi “Cinta Harus Seksi” karya ciptaan Ajai dipandang sedikit sepi, ruang untuk Dangdut bersaing dengan lagu lainnya kelihatan semakin sukar.
Ifa Raziah juga pernah mencuba dengan “Terus Terang” yang punya elemen Hip-Hop dalam Rap Lawa Nie Geng pada tahun 2016 juga antara yang saya kira moden penghasilannya. Namun masih gagal dipasarkan secara meluas.
Baby Shima antara bakat muda yang senang membawa genre Dangdut dalam perjalanan kariernya sehingga hari ini dan berjaya memikat Nagaswara, syarikat rakaman seberang mengambilnya sebagai artis rakaman sebumbung dengan Dangdut Sensation – Siti Badriah (Lagi Syantik).
Tahun ini menyaksikan 3 lagu Dangdut daripada 3 solo wanita yang cukup establish nama mereka – Amelina tampil dengan “Janda Anak Enam”, Haiza tampil lebih Pop dengan “Young & Gentleman” dan merdu Shiha dalam “Pipiyama” sudah siap sebagai sebuah naskhah yang solid untuk dipopularkan.

Peluang untuk lagu-lagu ini popular dan dikembangkan ada jika beriring sokongan penuh semua. Usaha pertama adalah pihak televisyen, radio dan portal hiburan untuk memberi publisiti yang sepatutnya.
Tidak salah kiranya memberi ruang lagu-lagu ini mendapat air play di waktu prime sebagai tanda sokongan untuk period tertentu. Jika setelah itu masih tiada permintaan daripada pendengar untuk terus dimainkan maka pasaran hari ini untuk Dangdut nyata semakin kecil. Namun usaha untuk memulakan itu harus ada terutama bagi pihak yang mempunyai platform besar seperti radio dan televisyen.
Kolaborasi Aizat, Mel Ramlan dan Haiza menerusi “Young & Gentleman” datang approach cukup moden. Melodi yang catchy, lirik yang mudah dihafal dan killer chorus nya yang cukup baik. Amelina teus kekal authentic dengan jiwa Dangdut tebalnya. Shiha menerusi “Pipiyama” lebih menarik minat saya kerana komposisi melodi dan kelembutan dalam penyampaian Shiha.
Usaha lainnya harus dilakukan mungkin kolaborasi bersama bakat-bakat baru yang semakin besar namanya mampu membantu genre ini terus dinikmati dan dihargai. Semoga akan ada ruang berterusan untuk pejuang Dangdut di Malaysia menempatkan diri sebaris lagu popular papan atas lainnya.