Mungkin hampir mustahil agaknya jika tanpa pelawaan Ideatelier melamar danmeyakinkan Ratu Balada, Fauziah Latiff terciptanya memori konsert berskala besar malam tadi yang membekas memori.
Sehari sebelum ke konsert 4 Decades Fauziah Latiff saya sempat mendengar kembali seluruh diskografi sepanjang di bermuzik. Balada itu kekuatannya namun masih berbekas satu sisi lain nuansa R&B Pop yang kental yang pernah saya tulis lewat artikel Melayani R&B Pop Terbaik Fauziah Latiff. Dia memiliki satu diversiti Pop yang luas sebetulnya tanpa perlu memasuki pasaran muzik Tradisional.
Lantas lagu-lagu seperti “Resah”, “Sahabat”, “Aku”, “Sandarkan ke Bahuku”, “Gelora” dan “Hanya di Sini” menjadi antara yang datang dengan groove dan attitude yang berbeza. Tapi tidaklah saya mengharapkan lagu-lagu ini dipersembahkan di malam konsert kerana pastinya kita mahu menikmati puluhan lagi lagu-lagu Balada mewahnya sepanjang empat dekad bergelar penyanyi.
Saya kira mungkin tiada siapa pun yang dibesarkan di era 90-an tidak dekat dengan alunan lagu-lagu Baladanya. Dan malam konsert dibuka dengan hits “Setiaku Korbankan” mengundang jeritan bebas pengikut Jee yang memenuhi Plenary Hall KLCC. Kemasan muzik yang dikendali Chaan sebagai MD menghasilkan sesuatu yang cukup mewah dan grand. Ia menjadi nadi bergema dan serunya lagu-lagu Jee sepanjag malam.

“It may not be perfect tapi…
Keraguan pada vokal yang menjadi persoalan ramai terjawab juga malam tadi. Seperti katanya “It may not be perfect, tapi saya harap ia akan menjadi memorable untuk kita semua” . Auranya di pentas membatasi apa jua keraguan yang ada pada semua (biarpun keraguan dan persoalan itu sebenarnya datang daripada yang tiada di dewan konsert). Jee sangat bersahaja, kadang dia bergurau dalam ucap pendek namun membekas senyuman.
Rangkaian Balada seperti “Batas Menanti”, “Dia”, “Ku Pohon Kemaafan”, “Gubahan Rindu Puisi Syahdu” dan “Bukan Kemahuan Fikiran” menjadi peneman semua yang sama menyanyi dan melayani persembahan Jee di pentas.
Chaan sebagai Pengarah Muzik memberi sentuhan mewah pada susunan muziknya. Tidak banyak yang diubah tetapi dia meninggikan standard setiap lagu dengan penghasilan yang cukup lively dan mengena dengan kemampuan Jee di pentas.
Konsert yang ditutup dengan hits malar segar “Teratai Layu di Tasik Madu” mengundang sebak Jee di pentas, seluruh ruang dewa sama meraikan momen ini dengan menyanyikan bersama. Kesederhanaan menjadi satu kesempurnaan, 4 Decades in Concert menjadi satu momen yang membuat saya pulang memandu dan teringat-ingat malam konsert yang sebukupnya itu.
ARTIKEL BERKAITAN