
Satu kerjasama strategik diraih dalam satu memorandum yang ditandatangani DBKL bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Kerjasama ini ini menjadi inisiatif berterusan DBKL untuk memperkukuh sektor seni dan budaya juga pada masa yang sama mempelbagaikan pengalaman pelancongan di ibu negara.
Majlis disaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut merasmikan Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) yang menjadi salah satu program tahunan DBKL untuk mengangkat seni muzik orkestra tempatan ke tahap lebih tinggi.
Festival ini bukan sahaja memperkasakan pembangunan bakat muzik sahaja malah menjadi sistem penggerak penyertaan aktif masyarakat dalam kegiatan seni budaya yang inklusif dan memberi impak bertaraf antarabangsa.
Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) diusahakan bagi mengukuhkan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya sepanjang tahun ini. Inisiatif lain yang turut dirancang adalah seperti penerbitan kalendar acara tahunan menerusi portal VisitKL dan penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

FOKL akan menjadi platform pembangunan ekosistem seni dan budaya melalui penglibatan para pelajar yang terpilih. Para peserta akan diberi peluang untuk terlibat secara langsung melalui persembahan orkestra sekolah yang dijadualkan pada 17 dan 24 Jun di Auditorium DBKL.
Menerusi program ini, DBKL turut menjalin kerjasama dengan Tokyo Symphony Orchestra bagi membimbing Orkestra Belia Kuala Lumpur sebagai satu lagi usaha membina potensi generasi muda. Satu forum istimewa turut dianjurkan iaitu Orchestra Festival Forum yang menjadi destinasi perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman setiap peserta yang terlibat.
Satu inisiatif dilaksanakan untuk memastikan keterangkuman dan akses yang adil untuk semua kelompok masyarakat. Antaranya termasuk penganjuran konsert amal bagi menyokong Persatuan Orang Buta Malaysia serta penyediaan tempat duduk khas bagi individu kurang upaya di setiap konsert.