
Konsert “Doa Buat Kekasih – 30 Years Anniversary Tour 2018” Berlangsung di Istana Budaya
Untuk berdiri teguh lebih 3 dekad dalam bidang seni muzik lokal bukan jalan mudah kiranya. Hanya dengan tekad juga usaha tanpa putus sahaja yang akan mengekalkan satu-satu figura seni itu utuh sebagai ikon muzik. Dan nyata hal-hal ini ada pada dua legendary muzik Ramli Sarip dan Khadijah Ibrahim.
Menonton persembahan Konsert Doa Buat Kekasih – 30th Anniversary Tour yang berlangsung 6 Oktober di Istana Budaya saya sifatkan sebagai pengalaman menonton konsert yang cukup solid seiring kematangan dua penghibur senior ini.
Dibuka cukup strong dengan vokal Kathy menerusi duet Kumiliki Bayanganmu, duo ini mengundang jeritan tak berhujung daripada audien yang memenuhi setiap seating di Istana Budaya. Segmen pertama rangkaian lagu-lagu duet diteruskan dengan rangkaian duet yang pernah menaikkan nama dua bintang ini.
Antara yang paling menggamit memori Zapin Berperi dan Selapis Kasih Sedulang Rindu (Nyanyian asal Ramli bersama Allahyarham Tan Sri S.M Salim) mengisi segmen pertama konsert ini.
Segmen kedua diteruskan dengan solo Kathy menyampaikan lagu pertama yang menaikkan namanya Ku Sangka Siang Kiranya Malam dalam susunan muzik yang cukup lively dan terkini. Suara ibu pada waktu ini saya kira berada pada emosi yang cukup terbaik mentafsir bait lirik lagu tulisan Rahmat Zaki dan tentu saja melodi malar segar Datuk Ahmad Nawab yang begitu nostalgik sekali.
Diteruskan dengan rangkaian lagu-lagu popularnya seperti Everyday Girl, Halimunan, Ku Gembira Di Sampingmu dan all time hits Ku Pendam Sebuah Duka yang turut menampilkan Siti Hajar anak kepada Kathy berduet bersama.

Kemunculuan Ramli Sarip dalam segmen solo seterusnya cukup membangkit semangat. Rangkaian lagu-lagu rock n roll, tradisional dan hit malar segar seperti Teratai membuatkan dewan malam tersebut meriah sekali ditambah dengan jeritan sokongan peminat-peminat Papa Rock yang turut sama menyanyi tanpa henti. Lagu berjudul “Batu” antara yang mengundang gila semua penonton di ruang Istana Budaya.
Saya sejujurnya belum lagi pernah mengikut secara serius perkembangan Ramli Sarip, namun segala kredibiliti, aura dan kuasa pentas yang dimiliki legendary ini begitu dasyat sekali. I’m a fans!
Dan sejak malam tersebut kali pertama saya mendengar lagu “Batu” saya ulang dengar sehinggalah artikel ini ditulis.
Antara rangkaian lagu popular lain yang dipersembahkan oleh Papa Rock ini adalah Jangan Tunggu Lama-Lama, Tersendiri, Budaya, Jikalau Berkasih dan Teratai dalam persembahan yang penuh tenaga dan soul.

gambar: nstp
Kedua-dua bintang ini kembali berkongsi pentas di segmen terakhir yang nyata tidak menghentikan momentum konsert yang penuh dinamik. Duet mereka dalam hits Tina Turner seperti “Proud Mary” dan beberapa lagu popular mereka lain seperti Ihsan Mulia dan Doa Buat Kekasih.
Konsert ditutup dengan lagu “Kamelia” yang bergema dengan nyanyian semua yang hadir sebagai pelengkap persembahan 2 jam malam tersebut. Ternyata dua bintang ini memberikan satu warna tersendiri dalam membentuk muzik Malaysia di legasi yang cukup tersendiri dengan senandung Irama Melayu dalam gema irama yang penuh nostalgia.