Menyemak kalendar legasi Pop Indonesia awal ke pertengahan 90-an, ketika itu penggemar muzik sedang begitu hangat dengan hebohan kugiran terbaik sepanjang masa Dewa 19 dalam rangkaian album awal mereka seperti Format Masa Depan (1994) dan Terbaik Terbaik (1995). Selain kemunculan bakat muda bernama Krisdayanti menerusi album perdananya dan grup trio AB Three selain baladan meruntun Dessy Ratnasari menerusi Tenda Biru.
Namun dalam hebohan nama-nama besar itu, terselit satu nama “Jingga” yang mengalihkan sedikit perhatian muzik Indonesia dengan debut “Tentang Aku” yang menjadi satu-satunya album yang sempat dirakam duo Pop ini.
Jingga dianggotai Fe (Vokal) dan Therry (Komposer) datang dengan ilham muzik Pop yang keseluruhannya menggunakan kerja programming di studio, Jingga barangkali banyak terilham daripada produser muzik Cagnet dari Jepun yang sering menggunakan idea serupa.
Album yang memuatkan 9 lagu unggulan duo ini dibuka dengan Ku Terhempas (Therry) dalam nuansa kental Indo Pop diteruskan dengan hits Tentang Aku (Therry) yang cukup ramuan sebagai sebuah lagu malar segar yang akan didengar sampai bila-bila. Masakan tidak, lagu ini saja sudah dirakam ulang oleh Andien menerusi album Kinanti (2002) dalam nuansa Jazz yang cukup menyenangkan.
Kraf muzik Jingga dalam album ini bagi saya bersifat cukup organik. Baik penciptaan melodinya, kemasan muzik sehingga vokal cemerlang Fe yang cukup lembut. Lagu-lagu seperti Dalam Doa dan Aku Hari Ini cukup deep sekali perasaan Fe dalam lontaran suara penuh santun dan rasa yang tepat.
Album ini saya sifatkan sebagai Indonesia Gems in Music kerana penghasilannya cukup mengesankan. Tidak hanya pada karya-karyanya tetapi juga menjadi sebahagian daripada naskhah penting pasaran muzik Indonesia sekitar 90-an yang sehingga hari ini menjadi karya hebat sepanjang zaman.