Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis sudah sebati dikenali di lapangan seni muzik tempatan sebagai seorang penulis lirik yang cukup banyak menyumbang hasil karyanya untuk komposer hebat M. Nasir khususnya. Biar sudah melepaskan tanggungjawabnya di dunia sebgai individu yang cukup dikagumi pemikiran serta peribadinya, apa yang dia tinggalkan pada kita takkan lepas dari ingatan.
Selain dikenali dengan nama pena Loloq, dia cukup dikenali dengan nama lain seperti Nurbisa, Cenderawasih, Kristo Bombo dan Fakir Iskandar. Namun biar apa jua nama yang digunakan olehnya, kemampuannya sebagai seorang penulis itu akan sentiasa dapat dihidu individu yang sudah biasa dengan corak penulisannya.
Hari ini Loloq tidak lagi bersama kita namun karya-karya hasil kerjanya akan sentiasa diperkatakan, dikaji, ditulis dan dihargai. Menerusi kataloq Pop Getaran Nostalgia di saluran YouTube, Muzik Kita menyelami seberapa dalam mungkin hasil penulisan Loloq yang membekas kesan.
BAGAIKAN PUTERI (FARRA / ZURAINI)
Siapa yang tidak mengenal Pop Dance yang cukup ikonik ini? Dengan nama pena di kredit album sebagai Fakir Iskandar dia menulis lirik ini dalam ilham ‘cinderella’ yang cukup dreamy dan membangkit semangat. “Tapi sayang hanyalah impian // Bulan tak bisa tumbuh di taman” korus yang mengikat dan membaluti sempurna melodi tulisan Zuraini. Sedikit trivia, kesemua lirik di album debut Farra ditulis sepenuhnya Loloq dengan nama Fakir Iskandar.
LAYAR IMPIAN (ELLA / SATIMAN)
“Tapi kini bila dewasa // Aku mula sedar betapa mimpi // Hanyalah suatu permainan //Jiwa insan dalam kesepian” Tulisan Loloq yang cukup popular dalam banyak-banyak lagu yang dirakamkan Ella sebagai the queen of Rock. Loloq berkisah tentang impian, cita-cita dan harapan di lagu ini – tentang what if? yang jelas di barisan “Jika mimpi masa silam // Bisa kusimpan dalam kaca // Jadi perhiasan” berbalut perasaan dalam kiasan juga perlambangan.
DI AMBANG WATI (WINGS / M. NASIR)
Melankolik melodi ciptaan M. Nasir ini dibaluti sempurna puitis lirik Nurbisa. “Yang putih bersih // Dalam gita kama // Si ratu yang di rindu // Persis citra sakti mimpi.” untuk sebuah sentimental Rock saya kira sesuatu yang cukup besar sifat kata-katanya. Membaca teks lirik ini tanpa mendengarkan lagunya memberi satu perasaan berbeza seperti membaca puisi panjang tentang perpisahan dan ketidakpastian. “Menghitung detik perpisahan // Mendamba ke pangkuan kekasih // Menangis dalam kesyahduan.”
BENGANG (MANTERRA / FAUZAN S)
Tajuknya sahaja sudah memberi keterujaan untuk mendengarkan lagunya. Dengan nama Kristo Bimbo, Loloq menggerakkan penceritaan Bengang sebagai sebuah persembahan yang keliru dalam satu arah yang pasti. “Mana datang cahaya // Bukanlah tajuk cerita // Siapapun kau ku sudi terima.” Sebelum diteruskan dengan “Biarpun dosa semalam // Sebesar gunung menembus awan // Yang penting hatiku dapat kau tawan”
LAILA NAMAMU TERATAS (SEARCH / M. NASIR)
Loloq dalam meramu kisah wanita dalam lagu pasti hadir dalam idea paling cerdasnya. Diisi dengan bait-bait puitis manis, “Laila Namamu Teratas” satu daripada yang cukup membekas kesan. “Namamu teratas indah bercahaya Laila // Menerangi ruang hati bersama makna mimpi” – sebuah manifestasi tertinggi dalam memuja wanita sebagai subjek dalam penulisan liriknya.
RATNAKU (ROY / M. NASIR)
Kolaborasi M. Nasir dan Loloq jarang gagal menciptakan momen yang tersendiri. “Ratnaku” antara komposisi muzik Pop yang datang dengan jiwa besar Roy dalam penceritaan manis Loloq. “Keringkan bibirmu // Oh, Ratnaku // Cubalah senyum // Kerna tangisamu kan hanya // Menambah dukaku.”
ARTIKEL BERKAITAN