
Album: Untuk Kau
Artis: FLQ
Produser: Faliq Mohd
Meneroka pasaran muzik indie tempatan pasti saja akan menemukan nama-nama yang mungkin asing di pasaran semasa namun memiliki potensi besar dalam membentuk landskap baru muzik tempatan ke tahap yang lebih baik pastinya dengan idea baru.
FLQ atau Faliq satu daripadanya yang menarik pendengaran saya akhiran ini. Usai berkuburnya Pastel Lite, Faliq bernadi terus dalam sebuah eksplorasi muzik yang lebih fun saya kira penghasilannya. Hal-hal ini sudah dibuktikan dalam dua single yang beredar lebih awal tahun ini “Menari Dalam Memori” dan “Penagih”.
Munculnya album “Untuk Kau” bersama YRR Music dengan kerjasama Tong Tong Asia membuka langkah lebih bebas buat Faliq berkongsi idea, pemikiran dan perasaannya lewat his own state of mind menerusi tujuh trak yang terhasil di album ini.
Album ini dibuka dengan lagu “Nada Baru” (Faliq Mohd / Dian Rautraz) yang hadir dalam groove retro vibes yang menjadi pumbuka yang cukup menyenangkan. Ruang yang ada di lagu ini ditulis liriknya dengan cukup personal “Di manakah harus ku cari pengganti dirimu baby // Kemankah harus ku bawa diriku ini.”
Diteruskan dengan “Menari Dalam Memori” dan “Penagih” – muzik Faliq menjadi lebih fun dengan vibes 80’s menerusi lagu “Suara & Mata” yang mengembalikan memori saya menikmati album-album awal Noorkumalasari dan Ogy Ahmad Daud dalam sentuhan Synth Pop dan Disko dengan quirky lirik yang cukup fun dinikmati “Bawa aku lari dari tempat ini // Aku memang pelik begini”.
“Tiada Hawa” favorite saya di album ini. Penampilan vokalis Ramayan – Pie dalam lagu ini memberi satu rencah rasa yang cukup hebat sekali. Psikedelik Pop yang dicantum sifatnya dengan persembahan Ej Safari dalam mengalun puisi di lagu ini cukup mencandukan. Saya mengulang dengar lagu ini sebelum beranjak ke lagu berikutnya.
“Tentang Tenang” menjadi lebih menarik dinikmati. “Tarik nafas // Hembus lagi // Kamu akan tenang nanti” – membuka lagu ini dengan begitu mengujakan sekali. Saya melayang dalam pesona melodinya dan vokal Dian yang cukup sensual. This one definitely my repeat mode track yang sempurna dimainkan di setiap pagi sebagai mood booster.
Album ini ditutup dengan “10 Tahun” dalam bait “Insya-Allah // Kita pasti kembali lagi.” sebagai sebuah lagu yang melengkapkan album ini sebagai satu hasil yang penuh dengan idea, passion dan keterujaan baik buat Faliq sebagai pemuzik juga buat saya sebagai pendengar. Album ini harus diraikan sebaik-baiknya pengikut muzik tempatan.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN