
Baru sahaja meraikan 30 tahun pembabitan dalam bidang muzik dengan konsert skala sederhana menampilkan Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Sean Ghazi dan one and only Siti Nurhaliza bersama iringan orkestra Malaysia Philharmonic Orchestra.
Nama Aubrey Suwito nyata bukan asing dalam legasi muzik tempatan sebagai pencipta lagu, penerbit dan pengarah muzik. Hasil kerja Aubrey antara yang ke depan dengan idea-idea Pop yang lebih segar dan moden tanpa terikat dengan idea pasaran semasa.
Berikut 10 lagu terbaik yang kami kumpulkan sepanjang karier maestro muzik Pop yang cukup hebat ini.

Casey – Seribu Impian (1994)
Pop dalam trak ini cukup moden sekali jika mahu dibandingkan dengan lagu-lagu popular sekitar tahun 1994. Saya kira ini antara anthem Aubrey Suwito dalam mencipta mid-tempo pop sebegini. Dan sehingga hari ini masih antara karyanya yang paling asli sekali. Album ini dimuatkan dalam debut Casey (1994) bersama 2 buah lagi lagu ciptaan Aubrey berjudul Saat Ini dan Inspirasi.

Syafinaz – Ingin Bersamamu (1999)
Sebuah lagi anthem Aubrey! Ingin Bersamamu saya sifatkan antara karya Pop paling cemerlang pernah dihasilkan sepanjang era 90-an. Aubrey mencipta lagu ini dengan cukup baik dan memberi justifikasi sempurna buat vokal Syafinaz. Sebuah lagi lagu yang bagus dicipta untuk Syafinaz oleh Aubrey dalam album ini adalah Impian Realiti. Rasanya dah masanya untuk Aubrey do another magic number untuk Syafinaz.

Jaclyn Victor – Gemilang (2004)
Kehebatan Aubrey dalam mencipta lagu-lagu dengan pengaruh gospel blues seperti Gemilang bukan lagi sesuatu yang asing. Kebanyakan karyanya berlegar pada idea gospel pop ballad yang disusun indah melodinya. Gemilang nyata antara lagu paling penting yang pernah dicipta Aubrey sepanjang kariernya.

Memori Tercipta – Shila Amzah (2009)
Satu lagi lagu yang cukup indah ciptaan Aubrey. Dilantun sempurna oleh Shila Amzah, lagu ini antara lagu dengan melodi terindah yang pernah dihasilkan. Lirik Habsah Hassan seawal bait “Bergetar jiwa…” ditulis dengan cukup sempurna sekali.

Layarlah Kembali – Dayang Nurfaizah (2017)
Tiada kata selain SEMPURNA yang boleh saya ungkapkan untuk lagu terbaru ciptaan Aubrey untuk Dayang Nurfaizah ini. Melodi, susunan muzik dan vokal menyatu cukup baik sekali. Lirik tulisan Ad Samad memberi justifikasi terhadap melodi yang dicipta Aubrey dengan begitu cemerlang sekali.

Hanya Di Mercu – Ayu (2009)
Lagu ini memilik ekstrak muzik Gemilang dan Memori Tercipta tetapi disiapkan dengan mengikut skala vokal Ayu. Sekali lagi lirik lagu ini ditulis kemas Habsah Hassan. Hanya di Mercu sebuah lagi lagu Aubrey yang layak ke pentas Juara Lagu.

Bagaikan Bidadari – Tomok (2010)
Lagu pertama yang dicipta Aubrey untuk Tomok adalah lagu kemenangannya dalam program One In A Million berjudul Rindu Terhenti. Namun saya kira penciptaan Bagaikan Bidadari lebih solid dengan feel vokal Tomok yang baik dan juga penulisan lirik yang lebih puitis.

Gemuruh – Faizal Tahir (2007)
Lagu ini sebetulnya ada pengaruh Seribu Impian, setelah sekian lama Aubrey tidak mencipta irama dalam tempo rancak sebegini, saya kira Gemuruh diterbitkan pada masa yang tepat. Apatah lagi dipersembahkan dengan cukup hebat Faizal Tahir. “Menyerlah jauh dari yang biasa…”

Aku – Salamiah Hassan (2014)
Piano sepanjang lagu ini begitu membuai sekali. Feel Salamiah Hassan dalam lagu yang memiliki pengaruh Jazz yang minimal juga cukup power. Pejamkan mata dan nikmati alunan hebat melodi Aubrey juga vokal Salamiah dan terbuailah.

Lebih Indah – Siti Nurhaliza (2014)
Beradu Di Khayalan, Jaga Dia Untukku, Bisakah, Bersandar Cinta, Manis Terindah dan Menatap Dalam Mimpi antara lagu yang dicipta Aubrey untuk Siti. Namun originality dalam naskhah Lebih Indah cukup hebat sekali. Lagu ini saya sifatkan antara lagu terbaik yang pernah Siti rakamkan dan sekali lagi magis penulisan Ad Samad mencipta satu vibe luar biasa dalam melodi yang cukup baik sekali.