
Gelombang pemasaran album masih berpihak baik pada pemuzik indie yang benar-benar melihat kepentingannya sebagai satu portfolio muzik yang mempunyai kelestarian dan hayat panjang. Fokus pada penjualan CD fizikal juga vinyl masih diraikan dan bergerak sebagai item koleksi penggemar muzik yang bijak dan faham akan nilainya di masa mendatang.
Mendepani pasaran muzik semasa nama seperti Hael Husaini, Amir Jahari, Hazama dan Dayang Nurfaizah siap dengan persembahan muzik yang dekat dengan penggemar mereka. Album penuh sudah siap dihasilkan oleh bakat-bakat ini yang pasti berbekal modal dan usaha yang harus disambut baik. Penerimaan atas penghasilan itu subjektif pada pendengaran – suka atau sebaliknya itu pilihan.
Namun sejujurnya pasaran muzik Pop tahun ini masih mengulang idea serupa. Tiada album yang terlalu berani keluar daripada standard Pop yang sama dan masih bergantung pada penghasilan muzik yang sama. Kredit harus diberikan pada Daiyan Trisha yang sudah menghasilkan sesuatu yang cukup impresif tahun ini menerusi album “Lovelorn”.
Pasaran muzik Hip-Hop semakin mengujakan dengan kemunculan album gagasan 53 UNIVERSE. Kesinambungan idea juga pemikiran disambut baik dengan single “PP at Bukit Tabur” yang cukup booming tahun ini. LUCIDRARI satu lagi bakat baru yang cukup diraikan tahun ini, bersama FITTO terhasil album “CHRONOSPHERE” yang solid membentuk satu attitude muzik yang kekinian.
Beberapa album seperti “Pok Snahu” (Awang Samrow), “Di Persembunyian” (Satwo), “TUGU” (LUST) dan “Himpunan Lagu Rakyat” (Viona) dan “Pujangga” (Hazama) antara yang memiliki penghasilan yang baik pada kualiti muziknya.
Mendepani sebuah idea, sudut pandang dan visi Berikut 10 Album / EP Terbaik pilihan Muzik Kita tahun ini.

TELEPORTASI
Mafidz / Mafidz Music Management
Mafidz memberi satu pengalaman menikmati sebuah korpus muzik Folk / Nusantara yang cukup melekakan. “Kayuh” yang membuka album ini digerakkan dengan sepuluh lagi lagu yang membentuk satu perjalanan muzik berbeza dengan apa yang mungkin biasa anda dengar di pasaran mainstream. Kesungguhan kugiran ini dalam penghasilan “Teleportasi” beriring satu dedikasi muzik yang mentafsir siapa Mafidz sebenarnya. Lagu-lagu seperti “Lemas”, “Kala Malam” dan “Senandung” dihasilkan dalam satu konteks muzik yang cukup solid untuk diangkat sebagai naskhah terbaik di album ini.

CHRONOSPHERE
lucidrari / FITTO / Midlyfe Records
Menerusi “GADISKU” Lucidrari mencipta momen manisnya tahun ini. Dengan sebuah album yang datang dengan sudut pandang berbeza, “CHRONOSPHERE” memberi satu ruang untuk muzik tempatan bernadi dengan lebih forward dan tidak stagnant dengan idea serupa. Album ini satu gerakan dan sebuah wakilan suara generasi baru muzik tempatan. “LOWLOW”, “PAPERTAG” dan “GADISKU” persembahan terbaik di album ini. Lucidrari memiliki potensi besar untuk bertumbuh sebagai pemuzik masa depan.

ANTONIM PT.1
Hael Husaini / Maesat Broadcast Networks System Sdn Bhd / Warner Music MY
Hael Husaini membelah batas kreativitinya tanpa had. Hal ini jelas dalam penghasilan “Diam” sebagai salah satu Pop yang memberi revolusi sound Hael Husaini sebagai pemuzik. Caranya membentuk Antonim pt.1 cukup cemerlang dengan komposisi melodi yang baik, produksi muzik yang begitu kemas bagi membentuk satu pakej Pop yang cukup current. Ternyata kolaborasinya bersama Iqie Hugh, Hanis Rafis, Omar K dan Ezra Kong benar-benar membuah hasil yang cukup baik untuk perkembangan kariernya.

LOVELORN
Daiyan Trisha
Daiyan Trisha semakin jelas dengan arah muziknya. Hal ini ditafsir sepenuhnya lewat “Lovelorn” – sebuah persembahan Pop yang cukup menyeimbangi kehendak melodi, lirik, kualiti rakaman sehingga penyampaian cemerlang Daiyan. Bergerak atas satu naratif yang cukup personal, setiap satu lagu dikemaskan melodinya menjadi sebuah naskhah Pop yang tastefully produced. “Surrender”, “LDR”, “Lovelorn” dan “Everything We Had” sempurna bersama dinamik yang ada pada Daiyan.

CEKELAT
No Good / 1837453 Records DK
No Good masih belum lagi memperlahankan langkah bermuzik mereka. Dan tidak juga lagi mengecewakan, EP dengan durasi sesingkat 10 minit ini membawa kita sebagai pendengar berseliwiran jauh dalam muzik kompleks namun catchy yang dihasilkan. ceKELAT bergerak sebagai sebuah persembahan muzik di dimensi berbeza namun sangat diperlukan pasaran muzik tempatan hari ini.

KEMBALI
Amir Jahari / Sekalo Music
Amir Jahari menerajui kelangsungan kejayaan “Hasrat” dengan penghasilan “Kembali” yang menemukan dia satu titik tengah kembara bermuziknya. Album ini menyeimbangi kehendak dan kreativiti Amir sebagai pemuzik juga pada masa yang sama dekat dengan pendengaran penikmat muzik tempatan. Lagu-lagu seperti “Aku Rindu”, Kenangan” dan “Ingin Pulang” bergerak atas formula keseimbangan yang ditemukan Amir sebagai pemuzik.

99
FUGŌ / FUGO EMPIRE
FUGŌ memberi satu kepelbagaian dalam muzik yang begitu dituntut. Naratif disusun dalam setiap lagu dibentuk dengan cerita yang dekat dengan kehidupan seharian kita sebetulnya. “Pentas Sandiwara” menjadi lagu terbaik yang mampu memecah tembok indie yang boleh diterokai kugiran ini untuk memasuki pasaran mainstream.

SEMOGA DIPERMUDAHKAN
53 UNIVERSE / 53 Entertainment
Kolektif Hip-Hop tempatan disatukan dalam sebuah gagasan diberi nama 53 UNIVERSE. “PP at Bukit Tabur” menjadi naskhah yang paling diraikan tahun ini dalam persembahan sebuah album yang digerakkan oleh sebuah falsafah, prinsip dan pemikiran. Setiap satu yang dihasilkan di album ini dihasilkan atas landasan yang serupa membentuk sound, stail dan attitude bermuzik yang cukup solid. “Moonshine” dan “Ocean Tears” seharusnya menjadi fokus pendengar juga selain “PP at Bukit Tabur”.

KHODI
Khodi / Faithful Music Sdn Bhd
Ini arah muzik yang selalu dan seharusnya Khodi hasilkan sejak dia memperkenalkan dirinya di persada muzik tempatan. Soul dan Jazz bernadi sebaiknya dengan attitude suara yang Khodi miliki sebagai pemuzik. Suara yang jarang atau mungkin sudah lama tidak kita miliki setidaknya di pasaran mainstream. EP ini bergerak sebagai permulaan baik, yang harus dia fikirkan adalah mencari formula terbaik menambah nilai komersial pada penghasilan melodinya.

TERUNTUK JANTUNG
NAKI / Jumantara Records / Faithful Music Sdn Bhd
“Datanglah Sang Puteri” membawa NAKI ke satu landskap pasaran muzik yang lebih mainstream. Atas formula ini “Teruntuk Jantung” dibentuk dengan satu lagi idea baru yang disatukan sebaiknya. Lagu-lagu seperti “Rembulan” dan “Masa” seharusnya menjadi paksi muzik NAKI selepas ini. Pop yang dihasilkan current dan dekat dengan ilham yang senang mengikat pendengar muda. NAKI juga memiliki kelebihan dalam vokalnya yang sedap dan menyenangkan.
ARTIKEL BERKAITAN